Jumaat, 9 Jun 2017

Skandal FGV: Anak peneroka Felda akan hantar memorandum desak Isa letak jawatan

Oleh Amin Iskandar
DESAKAN meminta Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Isa Samad meletakkan jawatan berhubung kemelut syarikat itu semakin memuncak, kali ini daripada anak peneroka Felda.
Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke 2 Felda akan menghantar sebuah memorandum kepada Perdana Menteri Najib Razak bagi mendesak Isa disingkirkan selepas menyebabkan "kekacauan" dalam FGV dengan menggantung Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad.
"Sekarang bukan macam dulu. Dulu, lembu kalau pakai baju Barisan Nasional (BN) pun boleh menang.
"Kami nampak, jikalau perkara ini tidak diambil perhatian oleh PM, jangan besok kita menyesal.
"Kerana kalau kita lihat dalam Facebook setiap hari, itulah dia cerita. Anak peneroka Felda setiap hari tak berpuas hati," kata Pengerusinya Zulkefli Nordin dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Zulkefli menjelaskan Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke 2 Felda merupakan kumpulan mewakili anak peneroka Felda daripada pebagai parti politik.
Semalam Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Perkasa dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut menggesa agar Isa meletakkan jawatan bagi menyelesaikan kemelut FGV.
Zulkefli berkata, adalah tidak adil ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat FGV, hanya Zakaria dipaksa bercuti dan Isa tidak turut diminta bercuti..
"Daripada segi track record, semasa Isa jadi pengerusi Felda dulu, berjela-jela email saya hantar kepada dia, langsung tidak jawab.
"Sekali tu dah janji nak jumpa kami anak peneroka Felda, dia batalkan. Berbeza dengan pengerusi baharu Felda Shahrir Samad. Dia bagus," katanya.
Beliau berkata, sebulan selepas Shahrir menjadi pengerusi Felda, anak kepada peneroka sudah boleh berhubung secara langsung dengannya.

"Ini yang kita hendak, apa yang berlaku di Felda kita terapkan kepada FGV. Kenapa Tan Sri Shahrir boleh buat tapi Tan Sri Isa tak boleh buat?" soalnya.
Kumpulan itu juga turut meminta agar Shahrir mengambil alih jawatan pengerusi FGV daripada Isa.
"Dulu pun pengerusi Felda pun pengerusi FGV jugak.
"Kami memang kecewa sebab Felda sebagai pemegang saham terbesar tidak mempunyai wakil dalam FGV.
"Felda adalah pemegang Amanah mak ayah kami punya saham," katanya.
Awal hari ini, Isa Samad berkata yang tidak ada alasan untuknya meletakkan jawatan seperti dicadangkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zakarshi.
“Kenapa saya perlu letak jawatan, bukan saya yang buat salah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA