Rabu, 21 Jun 2017

Skandal FGV: Selepas Isa, CEO FGV juga akan diganti

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Seri Zakaria Arshad dilaporkan akan turut digantikan selepas Tan Sri Mohd Isa Samad meninggalkan anak syarikat Felda itu, Isnin lalu.
Datuk Azhar Abdul Hamid, yang semalam meletakkan jawatan sebagai pengarah urusan Malakoff Corporation Bhd, dijangka menggantikan Zakaria, menurut The Edge Financial Daily.
Azhar hanya berkhidmat di Malakoff selama lebih sebulan sebelum diantik ke jawatan baru. Sumber akhbar itu mengatakan bahawa Azhar memiliki latar belakang dalam sektor perladangan dan sesuai menggalas tugas tersebut.
"Kerajaan sedang mencari individu yang bebas, berkebolehan dan memiliki pengetahuan mendalam di sektor perladangan untuk memimpin FGV dan Azhar nampaknya sesuai," kata sumber itu.
Azhar sebelum ini mengetuai pembangunan perniagaan di Sime Darby Plantation Sdn Bhd dan menjadi pengarah urusan syarikat itu serta bertindak sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Sime Darby sehingga Ogos 2010.
Beliau adalah ketua pegawai eksekutif MRT Corp dari tahun 2011 hingga 2014.
FGV menghadapi krisis dalaman apabila ahli lembaga pengarahnya, di bawah Isa, menggantung Zakaria dan tiga eksekutif lain, selepas menuduh mereka melanggar peraturan tadbir urus korporat.
Zakaria menyalahkan anggota lembaga itu dan mengatakan beliau cuba menghentikan pelaburan berjuta ringgit dan tidak masuk akal dalam perniagaan bukan teras. Kedua-dua pihak menafikan tuduhan itu.
Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dengan melantik bekas menteri Datuk Seri Idris Jala menyediakan laporan berhubung kemelut FGV. Selepas Idris menyelesaikan laporannya, Mohd Isa mengumumkan peletakan jawatan.

Isa menyatakan alasan peribadi untuk meletakkan jawatannya, namun langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada pelan penyelesaian oleh Najib.
Pengerusi Telekom Malaysia Bhd, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, kemudian dilantik sebagai pemangku pengerusi FGV.
Najib kemudian melantik Isa sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan eksekutif lain akan diteruskan, di mana mereka akan dibenarkan mempertahankan diri.
Zakaria melantik peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam penasihat, bagi berdepan siasatan terhadapnya.

1 ulasan:

  1. Sabar sikit lg. Kita ganti kerajaan malaysia terus. Lps tu proses mencuci semua salah guna kuasa dan korupsi boleh dimulakan,insyaAllah

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA