Selasa, 6 Jun 2017

Skandal FGV: PKR mahu Shahrir campur tangan, kekalkan CEO

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya campur tangan dan meredakan kemelut yang melanda firma perladangan itu.
Shahrir juga, kata beliau yang juga ahli Parlimen Pandan, perlu mengekalkan Datuk Zakaria Arshad selaku presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu.
"Saya memberi nasihat kepada Shahrir untuk campur tangan dan meredakan keadaan dengan mengekalkan Zakaria sementara segala isu disiasat dengan lebih lanjut.
"Berita penggantungan jawatan beliau oleh (Pengerusi FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diselubungi banyak isu yang perlu diselidik dan disiasat dengan lebih jelas.
"Saya mengambil kira rekod Zakaria sebagai seorang tokoh korporat dari generasi kedua Felda. Beliau juga berjaya memimpin FGV menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini," kata Rafizi dalam kenyataan.
Sebentar tadi, Isa mengadakan sidang akhbar mengenai tindakan FGV menjalankan siasatan audit dalaman membabitkan Zakaria dan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya diperlukan.
“Terserahlah pada SPRM nak masuk (siasatan), masuklah kita tak ada masalah. Buat masa ini kita cuma mengiyakan siasatan audit dalaman.
“Kalau SPRM nak masuk, siapa boleh tandingi kalau dia nak masuk. Kita nampak ada kesilapan sebab itu kita buat siasatan supaya lebih jelas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV sejak kebelakangan ini kerana mahu memantau firma tersebut yang berpotensi lebih maju di bawah kepimpinan Zakaria.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin menyatakan sokongan terhadap Zakaria dengan mengucapkan tahniah atas tindakan Zakaria meminta SPRM untuk menyiasat FGV.
"Tahniah Zakaria di atas keberanian saudara mendesak SPRM untuk menyiasat penyelewengan FGV. Hak peneroka mesti terus dibela," kata Shamsul Iskandar dalam akaun Facebooknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA