Selasa, 6 Jun 2017

Skandal FGV: Persatuan anak peneroka dakwa Zakaria jadi mangsa Isa Samad

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan mendakwa Zakaria menjadi mangsa terbaru Mohd Isa Abdul Samad kerana tidak disenangi pengerusi FGV.
mazlan-aliman-isa-samad-zakaria-arshadPersatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menyifatkan Presiden merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang dipaksa bercuti sebagai mangsa terbaru Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa Isa ketika menjadi pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bertindak “menyejuk bekukan” pengarah besar ketika itu – Datuk Zulkifli Abdul Wahab yang tidak disenanginya.
Katanya, ia disusuli dengan pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad yang turut “disejuk bekukan” sehingga beliau didakwa di Mahkamah Sesyen baru-baru ini.
“Dan saya mendapat maklumat daripada awal, Isa memang tidak menyenangi Zakaria.
“Maka, apa sahaja yang dibuat dahulu oleh Zakaria sebelum kehadiran Isa di situ akan dikorek kembali, antaranya isu Delima Oil Products Sdn Bhd itu.
“Walhal, apa-apa keputusan yang dibuat Zakaria itu adalah keputusan bersama dalam board (Lembaga Pengarah),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Mazlan mengulas laporan Zakaria dipaksa bercuti berkuat kuasa serta-merta oleh Lembaga Pengarah FGV.
Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan berhubung isu tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex yang juga anak syarikat FGV.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan ke atas Zakaria ialah satu kesilapan kerana beliau sedang melaksanakan misinya untuk memperbetulkan kepincangan dalam syarikat itu.

Beliau berkata, Zakaria sepatutnya diberikan ruang dan siasatan perlu dilakukan dengan adil berhubung sebarang isu membabitkan dirinya.
“Jadi, bila beliau digantung, siapa akan ambil alih? Siapa yang akan meneruskan misi FGV?” soalnya.
Dalam pada itu, Mazlan tidak nampak penstrukturan Felda yang dilakukan Tan Sri Shahrir Samad akan mendatangkan kesan, selagi Isa menjadi pengerusi FGV.
Beliau berkata, sepatutnya tindakan diambil untuk menyingkirkan Isa daripada FGV bagi meredakan keadaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA