Khamis, 22 Jun 2017

Skandal FGV: Masalah peneroka Felda belum selesai walau kepimpinan FGV berubah

Buah kelapa sawit diangkut untuk dimasukkan ke dalam lori. Ramai peneroka Felda tidak sedar mereka berdepan hutang yang banyak apabila menyerahkan pengurusan ladang kepada FGV. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Jun, 2017.KEMELUT Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mungkin hampir selesai dengan pertukaran kepimpinan, tetapi masalah majoriti peneroka Felda masih membelenggu mereka.
Walaupun menyambut baik perubahan kepimpinan dalam FGV, tetapi keyakinan peneroka dan anak peneroka Felda agak sukar untuk dikembalikan.
Peneroka Felda Sungai Sibol di Johor Esa Atan, 71, berkata sepatutnya ahli politik tidak dilantik untuk menjadi pengerusi Felda dan FGV.
“Biarlah ia diuruskan orang korporat. Barulah Felda dan FGV boleh berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Esa bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengganti Isa, Dr Sulaiman Mahbob mampu menguruskan FGV dengan lebih baik tetapi memberikannya 100 hari untuk melihat apa idea dan caranya menyelesaikan masalah.
Beliau berkata Sulaiman perlu mengembalikan keyakinan orang ramai dan peneroka Felda dalam FGV yang sebelum ini kurang telus dan tidak diuruskan dengan baik.
“Bagaimana keyakinan boleh dikembalikan? Sulaiman boleh mulakan dengan membetulkan kelemahan pengurusan tanah peneroka Felda.
“Mulakan dengan itu, selepas itu bab kewangan. Isu hutang terkumpul disebabkan skim penanaman semula dan caj tersembunyi yang dimasukkan dalam kos yang membebankan peneroka. Kita mahukan mereka lebih telus,” katanya.
Semalam, media melaporkan kemungkinan bekas pengarah urusan Kumpulan Malakoff Corp Azhar Abdul Hamid bakal menggantikan Zakaria Arshad sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) FGV.
“Kalau benar seperti dilaporkan media, CEO FGV Zakaria akan digantikan, kami mahu beliau digantikan dengan anak peneroka Felda juga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke 2 Felda Zulkefli Nordin kepada The Malaysian Insight.
“Kita perlu ingat, hampir 113,000 peneroka Felda merupakan pemegang saham dalam FGV. Jadi pengganti kepada Zakaria kena ada roh Felda juga.”
Zakaria merupakan anak peneroka Felda pertama dilantik menerajui konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama dunia itu.
Anak kepada peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan itu sebelum ini memegang jawatan sebagai naib presiden eksekutif/ketua Kluster Hiliran Sawit di FGV.
Felda tidak uruskan ladang dengan baik
Zulkefli berkata apa yang paling penting ialah Putrajaya perlu segera menyelesaikan isu melanda peneroka Felda seperti penyata kewangan tidak diberi.
“Ada yang setiap bulan bayar hutang dengan Felda tetapi penyata hutang sudah 10 tahun tak dapat,” katanya.
Katanya, apabila beliau dan kumpulannya menyiasat mengapa begitu sukar Felda mengeluarkan penyata kewangan, rupa-rupanya ada ladang peneroka tidak diuruskan dengan baik.
“Setiap bulan, ibu bapa kami yang serahkan ladang untuk diuruskan Felda akan diberi elaun sara hidup RM1,500. Tetapi ini hutang termasuk dengan kos penanaman semula, kos meracun dan sebagainya.
“Bila kami desak Felda, penyata kewangan diberi, semua kos dipotong, tetapi apabila kami pergi ke ladang ibu bapa kami, tiada apa yang dibuat, semak sudah macam hutan, gajah pun boleh duduk,” katanya.
Bagaimanapun, katanya tidak semua peneroka Felda sedar mereka mempunyai masalah hutang yang besar.
“Masalah ibu bapa kami di kampung ini, mereka seronok dapat elaun RM,1500. Tapi tidak tahu hutang bertimbun.
“Siapa nak bayar? Sebab hasil ladang langsung tak ada apabila Felda tak uruskan ladang mereka dengan baik.
“Kami bukan nak lawan kerajaan, tapi kami marah mengapa Felda buat ibu bapa kami begini?,” soalnya.

Zulkefli berkata penyingkiran Isa Samad sebagai pengerusi FGV dan digantikan dengan Sulaiman merupakan langkah tepat kerana anak syarikat Felda itu tidak seharusnya dipimpin orang politik.
“FGV ni macam anak kepada Felda. Felda sudah dipimpin Sharir Samad yang merupakan orang politik dan FGV pula kini dipimpin orang yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan seperti Sulaiman.
“Sekarang Shahrir boleh fokus jaga Felda dan Sulaiman pula fokus dengan perniagaan Felda iaitu FGV,” katanya.
Sementara itu, peneroka generasi kedua Felda Sungai Sibol Zulkifli Md Top agak skeptikal dengan pelantikan Sulaiman sebagai pemangku pengerusi FGV.
“Susah nak cakap. Mungkin beliau boleh lakukan akan etapi masalah dalam FGV ni bukan kecil,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA