Rabu, 21 Jun 2017

Skandal FGV: Isa dan isteri beri keterangan kepada SPRM

Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Samad dan isterinya, Puan Sri Bibi Shaliza Mohd Khalid hari ini hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Adalah dipercayai kehadiran mereka adalah untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah dalam FGV.
Kemelut FGV btercetus apabila lembaga pengarah syarikat itu mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad bersama pegawai pengurusan kanan bercuti bermula 6 Jun lalu.
Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
SPRM dalam satu kenyataan semalam berkata sudah memanggil 60 saksi bagi membantu siasatan kes FGV sehingga kini.
Isnin lalu, Isa berundur daripada FGV dan tempatnya digantikan oleh bekas pengerusi Telekon Malaysia Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Isa juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi MSM Holdings, syarikat FGV yang salah satu daripada gua gergasi dalam industri gula tanah air.
Beliau memberikan alasan peribadi.
Bagaimanapun langkah itu dilihat antara langkah penyelesaian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikemukakan oleh bekas menteri Datuk Seri Idris Jala.
Najib telah berikrar untuk menyelesaikan kemelut FGV sebelum Hari Raya yang dijangka jatuh pada Ahad ini.

Sejurus selepas pengunduran Isa daripada FGV, Najib mengumumkan veteran Umno itu dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Zakaria sebelum ini mendakwa beliau cuba menghalang “pelaburan tidak masuk akal” berjumlah jutaan ringgit. FGV bagaimanapun menafikannya.
Lembaga FGV pula menuduh Zakaria melanggar peraturan pentadbiran korporat syarikat komersial Felda itu.
SPRM pada 7 Jun lalu telah menyiasat Zakaria dan menyerbu pejabat FGV sehari selepas itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA