Selasa, 6 Jun 2017

Skandal FGV: Dato' Zakaria Wajar Dikekalkan Sebagai CEO FGV Sehingga Siasatan Penuh Berlaku

Saya memandang serius berita penggantungan Dato' Zakaria Arshad dari jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Berhad (FGV) atas alasan ada bayaran tertentu kepada syarikat yang berurusniaga dengan FGV.

Saya sedia maklum bahawa Dato' Zakaria Arshad mempunyai beberapa pandangan yang berbeza dengan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dalam beberapa isu besar, termasuklah urusniaga melibatkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations di Indonesia.

Saya mengikuti dengan dekat beberapa cadangan terkini yang mengheret FGV untuk terlibat di dalam urusniaga dengan Tan Sri Peter Sondakh (pemilik PT Eagle High Plantations), termasuk cadangan terbaru untuk memansuhkan perjanjian pajakan tanah dengan Felda yang akan melibatkan pindahmilik saham menjadikan Tan Sri Peter Sondakh salah seorang pemilik saham terbesar FGV.

Sehingga kini tidak ada kepastian sama ada perkara ini akan diteruskan.

Saya juga mendapat maklumat ada beberapa projek yang melibatkan suntikan dana beratus juta ringgit ke syarikat luar negara yang menjadi perbezaan pendapat di antara Tan Sri Isa dan Dato' Zakaria.

Saya mengambil kira rekod Dato' Zakaria sebagai seorang tokoh korporat dari generasi kedua Felda. Beliau juga berjaya memimpin FGV menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini. Saya kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV kebelakangan ini kerana mahu memantau bahawa FGV boleh lebih maju di bawah kepimpinan beliau.

Oleh sebab itu, berita penggantungan jawatan beliau oleh Tan Sri Isa Samad diselubungi banyak isu yang perlu diselidik dan disiasat dengan lebih jelas.

Saya memberi nasihat kepada Tan Sri Shahrir Samad untuk campur tangan dan meredakan keadaan dengan mengekalkan Dato' Zakaria sementara segala isu disiasat dengan lebih lanjut.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden KEADILAN

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA