Selasa, 6 Jun 2017

Skandal FGV: CEO mahu SPRM perlu siasat pengurusan Felda Global Ventures

Zakaria Arshad menggesa suruhanjaya anti-rasuah menyiasat urusjanji syarikat itu, terutamanya yang melibatkan jabatan pemerolehan FGV.
Zakaria-Arshad_sprm_6001
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikatnya, lapor New Straits Times hari ini.
Merujuk kepada pergelutan dalam lembaga pengarah FGV minggu lepas, Zakaria berkata ia membabitkan dakwaan serius dan beliau sendiri sedia disiasat.
“Sebab itu saya mahu perkara diselesaikan secara baik dan mencadangkan SPRM datang ke FGV dan siasat syarikat termasuk diri saya.”
“Melalui siasatan itu, kita akan tahu jika terdapat sebarang percanggahan dalam urusjanji yang dilakukan oleh saya, pengurusan atau mana-mana orang atasan,” katanya dalam temubual di pejabatnya pagi tadi, tidak lama sebelum beliau dipaksa bercuti serta merta oleh lembaga pengarah FGV.
Arahan itu menyatakan beliau perlu bercuti berikutan siasatan dalaman ke atas tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan, Safitex, kepada anak syarikat FGV.
Zakaria juga mencabar pihak berkuasa supaya mencari salah laku di pihaknya, melibatkan pembayaran lewat Safitex kepada Delima Oil Products, dan jika terbukti beliau akan meletakkan jawatan daripada syarikat itu.
Beliau berkata siasatan SPRM harus tertumpu kepada jabatan yang mengendalikan pemerolehan dalam FGV, secara tidak langsung menunjukkan di mana beliau percaya berlakunya perkara yang tidak kena dalam aktiviti syarikat.
“SPRM perlu datang dan periksa data kami. Kadang-kadang ia kelihatan lebih baik di atas kertas,” katanya, dan menambah beliau hanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap FGV jika dirinya dipecat tanpa diberi peluang untuk didengari.
Semalam, NST melaporkan Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Abdul Isa Samad meminta Zakaria meletak jawatan atas alasan beliau tidak bertindak mengikut amalan amalan korporat dengan membenarkan Safitex melakukan pembelian tanpa surat kredit, sehingga menyebabkan tunggakan.
Sementara itu, FGV dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Pengawal Kewangan Aznul Kama Azmir dari kumpulan sektor perladangan syarikat itu sebagai ketua pegawai kewangan interim kumpulan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA