Jumaat, 9 Jun 2017

SKANDAL FGV: BERAPA LAMA LAGI ISA SAMAD MAMPU BERTAHAN?

Tidak lama selepas CEO Felda Global Ventures atau FGV, Zakaria Arshad hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Putrajaya semalam, Pejabat Perdana Menteri pada lewat petangnya mengumumkan perlantikan Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan beliau bersama tiga yang lain.
Idris yang juga Presiden dan CEO Pemandu Associates Sdn Bhd dipertanggungjawabkan untuk meneliti fakta kes itu dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaiannya.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani dalam kenyataan selepas itu memberitahu, penggantungan Zakaria bersama tiga yang lain oleh Lembaga Pengarah adalah sesuatu yang salah.
Kata beliau, keputusan sedemikian tidak boleh dilakukan secara membuta-tuli kerana ia membabitkan risiko kepada pelabur awam dan asing dalam syarikat itu.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kemudian pula berkata, kedudukan Isa Samad sebagai Pengerusi FGV terserah kepada pemegang saham menentukannya.

Menurut Zahid, Isa dilantik dengan persetujuan Lembaga Pengarah dan kini terserah kepada pihak yang berautoriti membuat keputusan mengenainya.
Pemegang saham majoriti FGV ialah Felda dan Felda dimiliki oleh kerajaan serta diletakkan "di bawah dagu" Najib sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Dalam isu bekaitan, Pengerusi Felda, Shahrir Samad selain melahirkan kebimbangan terhadap kemelut yang melanda FGV, turut mengatakan isu yang sedang berlaku sekarang akan lebih mudah ditangani jika ada wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV.
Katanya, beliau hairan mengapa permohonan Felda selama ini untuk menempatkan tiga wakil dalam FGV, masih belum diluluskan.

Untuk rekod, Felda memegang 34 peratus saham dalam FGV dan merupakan pemegang saham majoriti dalam syarikat perladangan itu. 

Ketika Isa menjadi Pengerusi Felda dan FGV secara serentak, beliau boleh dianggap mewakili Felda dalam Lembaga Pengarah FGV, tetapi sejak tempatnya sebagai Pengerusi Felda diganti dengan Shahrir, kedudukan wakil Felda dalam syarikat itu sudah tidak wujud lagi.

Terbaru pagi tadi, susulan kehadiran Zakaria ke pejabat SPRM memberi keterangannya petang semalam, seramai 25 pegawai agensi penguatkuasa anti rasuah itu menyerbu Menara Felda yang terletak berhampiran KLCC.
Kehadiran mereka itu dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan siasatan yang dijalankan terhadap FGV.

Esok lusa, mungkin ada beberapa perkembangan yang tidak terjangka akan terus berlak dan apakah pula cadangan yang bakal dikemukakan oleh Idris Jala kepada Najib nanti?

Akhirnya, berapa lama lagi Isa mampu bertahan dan apakah Najib akan sentiasa memihak kepadanya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA