Isnin, 19 Jun 2017

Skandal FGV: Alasan munasabah untuk gantung 4 eksekutif FGV kata Pejabat PM

Kerajaan dan FGV berkata, 4 eksekutif itu boleh membela diri 'sejajar undang-undang keadilan asasi' dan tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.
FGV-Putrajaya Satu laporan bebas bagi menyiasat dakwaan pelanggaran prosedur dalam Felda Global Ventures Holdings (FGV) menunjukkan ada fakta dan alasan munasabah untuk memulakan prosiding disiplin terhadap 4 pegawai kanan syarikat itu.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan dan FGV berkata, syarikat itu perlu meneruskan prosiding disiplin yang sedang dijalankan.
Mereka berkata, eksekutif terbabit boleh membela diri “sejajar undang-undang keadilan asasi” dan tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.
FGV menjadi tumpuan media apabila 4 eksekutifnya, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad, diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan dalaman berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Susulan itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilantik sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan 4 pegawai kanan itu, selain meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.
Kerajaan dan FGV berkata, mereka sudah mendapat laporan Idris mengenai keputusan Lembaga Pengarah FGV menggantung Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Merujuk kemerosotan prestasi kewangan FGV dan Felda, mereka berkata, penilaian komprehensif perniagaan itu yang dimulakan tahun lepas perlu diselesaikan “segera”.
“Selepas selesai, ia akan meletakkan platform betul unutk menjadikan FGV dan Felda syarikat berjaya pada masa ini dan kelak. Platform ini termasuk model kepimpinan, strategi, perniagaan dan operasi yang betul.”
Mereka berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu itu masih dijalankan dan hasilnya akan diumumkan selepas siasatan selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA