Jumaat, 16 Jun 2017

Skandal 1MDB: Tiada bukti sokong dakwaan DOJ sembang 1MDB

Tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengenai penyelewengan dana berkaitan1MDB, kata firma pelaburan negara itu, hari ini.
"1MDB menyatakan bahawa tuntutan mahkamah sivil itu tidak mengandungi sebarang lampiran bukti atau kenyataan saksi untuk menyokong dakwaan yang dibuat oleh DOJ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Firma pelaburan negara itu juga menyatakan bahawa ia bukan pihak yang dinamakan dalam saman pelucuthakan berkenaan, dan tidak juga cuba dihubungi oleh DOJ.
1MDB juga berkata ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa negara asing itu, "tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara-perkara seumpamanya dan nasihat daripada pihak berkuasa yang sah di negara ini”.
DOJ malam tadi membuat kejutan, dengan mengumumkan saman pelucuthakan sivil terbarunya untuk merampas AS$540 juta dalam aset yang dibeli dengan dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Pemfailan pertama bagi pelucuthakan aset bernilai AS$1 bilion dibuat pada 21 Julai tahun lalu, dengan penyiasat AS berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.
Ketika itu, mereka mengumumkan lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset haram.
Dalam satu kenyataan malam tadi, iaitu yang ketiga dan terbaru, DOJ meletakkan angka yang didakwa diselewengkan itu pada AS$ 4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang dipercayai diperolehi dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA