Jumaat, 16 Jun 2017

Skandal 1MDB: Siasatan 1MDB masih berjalan, kata KPN

POLIS diarahkan untuk melihat “beberapa bahagian” dalam siasatan mereka berhubung syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tuduhan penyelewengan yang Amerika Syarikat (AS) dakwa digunakan untuk mendanai pelbagai pembelian, kata ketua polis negara hari ini.
Berkata siasatan itu masih berjalan, Khalid Abu Bakar memberitahu The Malaysian Insight yang polis menerima arahan baharu daripada peguam negara mengenai kes itu, baru-baru ini.
“Beliau mengarahkan kami melihat pada beberapa bahagian dalam siasatan kami. Kami masih melihat kepada bahagian berkenaan,” katanya.
Khalid berkata siasatan yang bermula tahun lalu selepas pembentangan laporan ketua audit negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang memasukkan petikan daripada laporan itu ke dalam dapatannya, kemudian dibentangkan di Parlimen pada April tahun lalu.
Laporan itu kemudiannya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pemimpin pembangkang Rafizi Ramli didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana mendedahkan petikan daripada laporan itu kepada umum.
Dana 1MDB, syarikat diilhamkan Perdana Menteri Najib Razak, menjadi perhatian siasatan di AS dan beberapa negara lain atas tuduhan penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) semalam memfailkan tuntutan untuk menyita aset yang didakwa dibeli menggunakan wang diambil daripada 1MDB.
Aset dimaksudkan itu termasuk hak terhadap filem “Dumb and Dumber To” yang diterbitkan oleh Riza Aziz, anak tiri Najib.
Tahun lalu, pendakwa AS memfailkan tuntutan sivil penyitaan aset terhadap lukisan, hartanah dan aset lain dimiliki beberapa individu bernilai lebih AS$1 bilion.
"Aduan hari ini mendedahkan satu lagi bab daripada banyak tahun, skim penipuan berbilion dolar, menjadikan jumlah yang dicuri dikenal pasti sebanyak AS$4.5 bilion," kata pemangku Penolong Peguam Negara AS, Kenneth Blanco dalam satu kenyataan.
Dalam respons segera, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata tuntutan DoJ yang terbaru ini hanya ulangan daripada tuntutan AS$1 bilion tahun lalu, dan kecewa kerana pihaknya tidak dimaklumkan berhubung tindakan terkini itu.

Apandi berkata pejabatnya masih belum diberikan bukti menunjukkan wang diselewengkan daripada 1MDB.
Sementara itu, Putrajaya dalam satu kenyataan hari ini berkata tuntutan sama terbaru DoJ itu “tuduhan tidak terbukti”.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut memberi respons dengan berkata penamaan tidak perlu dan tanpa sebab berhubung beberapa perkara serta individu tertentu oleh DoJ hanya akan memberi ruang kepada manipulasi dan gangguan politik dalam negara.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, PMO menyatakan kebimbangannya terdapat motif yang melangkaui objektif rampasan aset dalam pemfailan saman terbaru DoJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA