Sabtu, 17 Jun 2017

Skandal 1MDB: Putrajaya perlu buktikan saman DoJ palsu, bukan sekadar penafian kosong

AHLI politik Pakatan Harapan (PH) mendesak Putrajaya membuktikan yang pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) salah susulan tuntutan saman sivil ketiga difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Desakan itu susulan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Pejabat Peguam Negara tetap berkata pihak berkuasa tempatan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam syarikat pelaburan negara itu.
PMO dan Pejabat Peguam Negara melahirkan rasa kesal berhubung tuntutan yang difailkan DoJ bertujuan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikatakan dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MBD.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata penafian itu “lawak” kerana mereka tidak menangani fakta yang dibangkitkan dalam tuntutan itu.
“Mudah saja, Pejabat Peguam Negara dan PMO perlu sahkan fakta ringkas adakah Najib terima lebih AS$731 juta dana daripada 1MDB.
“Atau adakah (isteri Najib) Datin Seri Rosmah Mansor membeli berlian merah jambu bernilai AS$27 juta,” katanya yang juga setiausaha publisiti DAP.
“Jika mereka tidak buat begitu, maka nafikan, keluarkan bukti dan tamatkan perkara itu.”
Pua, yang lantang mengkritik 1MDB semalam berkata tuntutan saman itu membuktikan teorinya mengenai satu lagi penipuan 1MDB berkaitan pelaburan AS$2.3 bilion yang didakwa syarikat itu dipegang Brazen Sky di BSI Bank.
“Pelaburan yang dikatakan AS$2.3 bilion dipegang Brazen Sky itu tidak ada apa-apa tetapi hanya kertas tidak bernilai,” katanya.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata sekarang ada dua naratif yang bercanggah mengenai 1MDB, satu daripada pihak berkuasa Malaysia dan satu lagi pendakwa raya di AS, Singapura dan Switzerland.
Sementara pihak berkuasa Malaysia terus berkata tiada jenayah berlaku dalam 1MDB, mahkamah di Singapura dan Switzerland mendenda dan memenjarakan pegawai bank yang terlibat dalam pergerakan wang dikatakan daripada 1MDB.
“Memandangkan DoJ mengemukakan saman ketiga, peguam negara sepatutnya menghantar delegasi untuk bekerjasama dengan DoJ serta-merta bagi membuktikan secara undang-undang sama ada pendakwaan terhadap 1MDB ini benar atau palsu,” kata Fahmi.
Tuntutan saman DoJ semalam bertujuan untuk merampas antara lain kapal layar bernilai RM704 juta, Equanimity, dimiliki oleh Jho Low, dan hak terhadap filem komedi “Dumb and Dumber To” yang diterbitkan oleh Red Granite, syarikat penerbitan milik Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Najib razak.

DoJ juga mendakwa dalam tuntutan itu sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan oleh Low untuk membeli loket dan rantai bernilai merah jambu 22 karat untuk “isteri Malaysian Official 1”.
"Malaysian Official 1" merujuk kepada individu dalam tuntutan pertama DoJ pada Julai tahun lalu yang didakwa menerima AS$681 juta (RM2.6 bilion) daripada penyelewengan dana 1MDB.
Pada Ogos tahun lalu, menteri Kabinet Abdul Rahman Dahlan mengesahkan Malaysian Official 1 merujuk kepada Najib tetapi berkata perdana menteri tidak disiasat.
Najib tetap berkata AS$681 juta itu derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Pejabat Peguam Negara membebaskan Najib daripada segala salah laku selepas menerima laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai 1MDB pada Januari tahun lalu.
Veteran DAP, Lim Kit Siang pula berkata tuntutan saman terbaru itu bercanggah daripada penegasan Najib yang wang diterimanya itu daripada kerabat Arab Saudi.
Lim berkata 10 perenggan dalam dokumen 251 halaman itu menyatakan AS$681 juta dipindahkan dari akaun Tanore Finance Corp ke akaun milik Malaysian Official 1.
“Ada lagi perenggan membunuh untuk perdana menteri dalam tuntutan kleptokratik DoJ tetapi biarlah kita mula dengan 10 perenggan itu.
“Apa yang Najib dan kerajaan akan buat untuk yakinkan dunia yang Malaysia tidak akan jadi ‘kleptokrasi global’,” katanya.
Lim turut mempertikaikan adakah Apandi sudah membaca tuntutan itu sebelum mengisytiharkan tidak ada perkara baharu dalam dokumen berkenaan.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata perenggan berkenaan secara langsung dikaitkan dengan RM2.6 bilion dalam bank akaun perdana menteri yang disifatkan sebagai “derma” daripada kerabat Arab Saudi.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan Malaysia perlu segera memberi respons dengan memfailkan tuntutan untuk membantah tuduhan DoJ, jika semua dakwaan itu tidak benar.
Lim berkata kredibiliti dan kebertanggungjawaban kerajaan Malaysia akan lebih tercemar jika tuduhan terbaru ini tidak dicabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA