Khamis, 22 Jun 2017

Skandal 1MDB: Miranda Kerr patut kembalikan hadiah berlian Jho Low


Miranda Kerr patut kembalikan hadiah berlian Jho Low
Model Australia Miranda Kerr menerima berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai RM5.54 juta dan loket berlian 8.88 karat bernilai AS$3.8 juta daripada Jho Low. 
MODEL Australia Miranda Kerr patut mencontohi langkah diambil pelakon Leonardo DiCaprio dengan memulangkan kembali hadiah yang didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB, lapor The Guardian.
Kerr menerima hadiah barang kemas bernilai jutaan ringgit, dihadiahkan oleh Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, individu utama dalam skandal 1MDB.
DiCaprio menyerahkan trofi Oscar yang dimenangi Marlon Brando kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) terhadap dakwaan rasuah dalam 1MDB.
SABM Australia, satu persatuan sivil di Melbourne berkata walaupun “tidak mendakwa Miranda Kerr melakukan sebarang kesalahan”, beliau tetap sepatutnya “menyerahkan semua barang kemas yang dihadiahkan kepadanya”.
Pendakwa AS berkata barangan kemas itu termasuk berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai AS$1.29 juta (RM5.54 juta), yang dihadiahkan Low kepada model Victoria Secret itu pada Hari Valentine 2014, tidak lama selepas perceraian Kerr dengan pelakon Orlando Bloom.
Kerr juga menerima loket berlian 8.88 karat bernilai AS$3.8 juta daripada pereka New York, Lorraine Schwartz.
SABM Australia mendesak Kerr mengikut jejak langkah DiCaprio.
The Guardian berkata SABM Australia turut mendesak polis Australia menyiasat sama ada wang curi itu ada membuat sebarang pembelian aset di Australia termasuk hartanah, karya seni atau barangan kemas.
Trofi Oscar Brando diberikan kepada DiCaprio oleh Red Granite, rumah penerbitan dimiliki bersama anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz, yang juga pembiaya filem The Wolf of Wall Street, dibintangi DiCaprio.
Red Granite memberikan trofi itu sebagai tanda terima kasih selepas tamat penggambaran filem berkenaan.

DiCaprio secara sukarela menyerahkan trofi itu sebelum pemfailan tuntutan saman terbaru, menurut laporan laman web hiburan Hollywood, Vanity Fair.
DoJ mengambil tindakan undang-undang untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) dipercayai dibeli menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.
Antara barangan yang dituntut ialah hak kepada filem Red Granite, Dumb and Dumber To dan Daddy’s Home, hartanah, kapal layar, barangan kemas, lukisan karya Van Gogh, Monet, Picasso, Basquiat, Diane Arbus, serta poster filem.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA