Jumaat, 16 Jun 2017

Skandal 1MDB: Kapal layar, berlian dan banyak lagi...kata DOJ

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, malam semalam mengumumkan kejayaan yang paling ketara sejak 21 Julai tahun lalu, apabila penyiasat negara itu secara terbuka mengumumkan skandal 1MDB dan mengisytiharkan bahawa rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.
Ketika itu, penyiasat AS berkata lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan dari 1MDB dan berusaha untuk merampas semula kira-kira AS1 bilion aset haram berkenaan.
Dalam pemfailan yang ketiga dan terbaru, malam tadi, DOJ kini meletakkan angka yang didakwa diselewengkan pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion aset yang kononnya diperolehi melalui dana yang dicuri daripada 1MDB.
Antara senarai barangan yang cuba disita itu adalah sebuah kapal layar, barangan kemas termasuk berlian dan karya seni.
"Aduan hari ini mendedahkan satu lagi bab skim penipuan berbilion dolar, menjadikan jumlah yang dikenal pasti hasil dicuri adalah AS$4.5 bilion," kata Pemangku Penolong Peguam Negara Kenneth A Blanco dalam satu persidangan media.
"Wang bagi membiayai gaya hidup mewah konspirator bersama itu menjejas dan merugikan rakyat Malaysia.
"Kami tidak akan teragak-agak dalam komitmen untuk memastikan Amerika Syarikat tidak menjadi tempat yang selamat untuk individu yang korup dan kleptokrat menyembunyikan kekayaan atau wang haram mereka dan bahawa aset berkenaan akan dirampas dan dikembalikan kepada mangsa dari mana ia dicuri," katanya.
Pemfailan pertama bagi pelucuthakan aset bernilai AS$1 bilion dibuat pada 21 Julai tahun lalu, manakala pemfailan kedua bagi merampas aset AS$100 juta dibuat pada minggu lalu.
Sementara itu, dalam pemfailan ketiga, DOJ berharap untuk menyita aset bernilai AS$540 juta yang menjadikan ini tindakan yang terbesar yang dibawa oleh Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi DOJ.
Pemangku Peguam Negara AS Sandra R Brown berkata, berbilion-bilion dollar yang sepatutnya digunakan untuk rakyat Malaysia telah sebaliknya digunakan oleh sekumpulan kecil individu untuk memuaskan tamak haloba mereka.
Antara aset tambahan, yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri dan mahu dirampas oleh DOJ itu adalah termasuk:
  • Kapal layar Equanimity;
  • 2.5 juta saham di Palantir Technologies, sebuah syarikat perisian;
  • Semua hak-hak dan kepentingan dalam Kumpulan Electrum, sebuah syarikat pengurus pelaburan;
  • Hak untuk filem "Dumb and Dumber" yang dihasilkan oleh Red Granite Pictures;
  • Hak untuk filem "Home Daddy" yang dihasilkan oleh Red Granite Pictures;
  • Poster ‘single frame 3-sheet colour lithograph’ oleh artis Jerman Heinz Schulz Neudamnn bagi filem senyap "Metropolis" pada 1927;
  • Semua hak-hak dan kepentingan dalam Fly Wheel Sports, rangkaian kelab kecergasan;
  • Sebentuk berlian 11.72 karat berbentuk jantung;
  • Sebentuk loket berlian 8.88 karat merah jambu yang dilitupi berlian 11-karat.
  • Set barangan kemas emas putih dan berlian 18 karat, termasuk kalung berlian, anting-anting berlian, gelang berlian, dan cincin berlian;
  • Sepasang anting-anting berlian dan sebentuk cincin berlian yang sepadan, yang terdiri daripada berlian 7.53-karat flawless jenis berlian 2A, sebutir berlian jenis 3.05-karat flawless jenis 2A dan sebutir berlian 3.08-karat flawless jenis 2A.
  • Sebuah lukisan bertajuk "Nature Morte au Crane de Taureau" oleh Pablo Picasso;
  • Sebuah kolaj bertajuk "Redman One" oleh Jean-Michel Basquiat;
  • Lukisan bertajuk“Boy with the Toy Hand Grenade” oleh Diane Arbus;

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA