Selasa, 13 Jun 2017

Skandal 1MDB: Jho Low ‘cuci’ AS$50 juta dana 1MDB melalui firma tenaga

Wang berkaitan 1MDB yang digunakan oleh ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Jho Low untuk membeli sebuah hotel di London yang mahu dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, didakwa telah ‘dicuci’ melalui pembelian sebuah syarikat tenaga.
Menurut Wall Street Journal (WSJ), DOJ membuat dakwaan itu dalam tuntutan mahkamah bertarikh Rabu lalu untuk merampas harta berkenaan.
Pemfailan DOJ mendakwa bahawa pada tahun 2013 dan 2014, Low memindahkan AS$ 50 juta yang “diselewengkan daripada 1MDB" melalui satu siri akaun bank dan syarikat tanpa sebarang aset untuk membantu membiayai pembelian Coastal Energy bernilai AS$ 2.2 bilion.
Ketika itu, Coastal Energy adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Houston yang dimiliki oleh Oscar Wyatt Jr.
Baki AS$ 2.15 bilion dibayar oleh Compañía Española de Petroleos SAU (Cepsa), sebuah firma tenaga Sepanyol yang dimiliki oleh syarikat dana pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC)
Seminggu selepas pembelian, Cepsa memindahkan AS$350 juta kepada syarikat tanpa aset yang didakwa dikuasai oleh Low itu.
Dana ini kemudian digunakan Low untuk membeli hartanah di London yang mahu dirampas oleh DOJ.
Menurut saman itu, Cepsa akhirnya membeli pegangan Low dalam Coastal Energy untuk mengambil alih kawalan penuh dan pemilikan syarikat.
Goldman Sachs, yang juga dikaitkan dengan 1MDB, menjadi penasihat Cespa dalam pembelian itu.
Walau bagaimanapun, Goldman dilaporkan menafikan bahawa ia menjadi penasihat Low atau mana-mana syarikat yang dikawalnya dalam perjanjian berkenaan.
WSJ melaporkan bahawa sebelum perjanjian dengan Coastal dimeterai, Goldman telah menasihatkan bank suapaya tidak berkerjasama dengan Low atau syarikat tidak aktif miliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA