Ahad, 25 Jun 2017

Skandal 1MDB: JASA dakwa denda bank berkaitan IPIC bukan 1MDB

Unit propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendakwa denda €8.985 juta (RM43 juta) yang dikenakan ke atas bank swasta Edmond de Rothschild kerana kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram adalah berkaitan dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), milik Abu Dhabi dan bukan 1MDB .
Panel penasihat JASA, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ini adalah kerana tokoh utama yang terlibat adalah bekas pengarah urusan IPIC, Khadem Abdulla Al-Qubaisi.
Beliau menuduh Reuters dan Finews Asia dengan sengaja mengaitkan 1MDB dengan denda yang dikenakan oleh Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF).
“Jika kita benar-benar menganalisis berita ini, kita akan dapati, pertama, cubaan untuk mengaitkan denda ke atas Bank Edmond de Rothschild dengan 1MDB dibuat oleh Reuters tanpa sebarang sumber rasmi yang dinamakan. Malangnya ia telah dipetik oleh semua agensi berita lain secara tidak bertanggungjawab.
“Kedua, jika kita membaca laporan Finews Asia, individu yang dikatakan mengakibatkan Rothschild terbabit dalam 'skandal' ini adalah Ambroisien dan Ambroisien tidak dikaitkan dengan Arul Kanda, Shahrul Azral Ibrahim Halmi atau 1MDB sebaliknya dengan Khadem.
“(Oleh itu) adalah lebih tepat jika Reuters dan Finews Asia mengaitkan denda ini kepada IPIC kerana 1MDB tidak mempunyai akaun dengan Rothschild,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam melalui Whatsapp.
Justeru, Tun Faisal bertegas bahawa dana yang diselewengkan itu adalah milik IPIC, dan bukannya 1MDB.
“Seperti yang dinyatakan berulang kali, pihak yang kehilangan wang atau dana adalah IPIC dan bukan 1MDB.
“Seharusnya agensi berita melaporkan skandal ini sebagai skandal IPIC dan menyebut dana dan akaun yang terlibat sebagai IPIC linked fund atau IPIC linked account dan bukannya sebagai skandal 1MDB atau 1MDB linked fund dan 1MDB linked account,” katanya.
Menurut akhbar Luxembourg itu - Luxemburger Wort, meskipun kenyataan bank itu tidak menyebut skandal 1MDB tetapi perkara itu memperincikan mengenainya dalam laporan tahunannya yang diterbitkan bulan ini.

Laporan tahunan Edmond de Rothschild untuk 2016 merujuk kepada 1MDB sebanyak empat kali tetapi langsung tidak menyebut tentang IPIC.
Menurut halaman 42 laporan tahunannya, yang dinyatakan dalam bahasa Perancis bahawa "pada tahun kewangan 2016, Edmond de Rothschild (Eropah) telah disebut berhubung kemungkinan berkaitan dengan penipuan dalam 1MDB. Bank itu memberikan kerjasama penuh dengan permintaan oleh pihak berkuasa selaras dengan undang-undang Luxembourg."
Mengikut saman pelucuthakan sivil Jabatan keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1MDB, dana AS$1.367 bilion daripada wang AS$3.5 bil ion hasil jualan bon yang diterbitkan oleh 1MDB didakwa disalurkan ke Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI) yang berpangkalan di British Virgin Islands.
Aabar BVI dikawal oleh Mohamed Badawy Al-Husseiny, yang kononnya menjadikan syarikat itu kelihatan seolah-olah ia adalah anak syarikat IPIC yang mempunyai nama yang hampir serupa.
Pemfailan DOJ menyatakan bahawa antara 25 Mei dan 14 Disember 2012, Aabar BVI kemudian menyalurkan sejumlah AS$958 juta, sebahagiannya menerusi beberapa pengantara, kepada Blackstone Asia Real Estate Partners, yang dikuasai oleh Eric Tan Kim Loong, nama samaran yang digunakan oleh jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low.
Seterusnya, Blackstone menyalurkan dana bernilai AS$472.25 juta kepada akaun Edmond de Rothschild di Luxembourg di bawah nama Vasco Investments Services SA, yang dikawal oleh Khadem.
Khadem didakwa menggunakan wang tersebut untuk membeli hartatanah di Amerika Syarikat.
Jejak wang ini diperincikan pada muka surat 47 hingga 58 dalam saman sivil pertama yang difailkan DOJ tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA