Rabu, 21 Jun 2017

Skandal 1MDB: Jangan jadikan Rosmah 'korban politik', ampu Syed Ali

Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee mengecam musuh politik Umno yang menggambarkan seolah-olah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ada kaitan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.
Beliau yang juga ketua Umno bahagian Cheras berasa kesal setelah pihak berkepentingan sengaja mahu mengaitkan nama Rosmah dalam isu tersebut walaupun masih berada ditahap ketidak sahihan dakwaan berkenaan.
"Apabila perkara tidak sahih bermakna masih tidak benar, jadi kenapa perkara yang tidak benar hendak dicanang, ini perbuatan jahat dan berunsur fitnah.
"Ini sebahagian daripada fitnah pembangkang dan musuh politik Umno, mereka menjadikan isteri perdana menteri sebagai korban untuk menjatuhkan kerajaan demokrasi pilihan rakyat," ujarnya lagi.
"Dari segi perundangan, isteri Perdana Menteri tidak dibukti bersalah, jadi mengapa dikaitkan dalam isu tersebut, ini menunjukkan ada cubaan jahat untuk merosakkan nama baik beliau," kata Syed Ali dalam blog beliau.
Baru-baru ini, Rosmah mengarahkan peguamnya untuk memantau media sosial berkaitan "serangan dan tuduhan palsu" terhadap beliau.
Menurut firma undang-undang NoorHajran Mohd Noor, peguam mereka "memantau semua catatan dalam mana-mana platform media sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat" terhadap anak guamnya itu.
"Baru-baru ini, lebih banyak serangan yang berniat jahat dan tidak berasas muncul dan dibuat terhadap Rosmah Mansor di blog dan media sosial.
"Serangan ini adalah tuduhan palsu yang dibuat tanpa sebarang bukti dan/atau asas, dilakukan dengan niat jahat semata-mata untuk memburuk-burukkan nama baik Rosmah atas dakwaan salah laku yang menjejaskan reputasi beliau," kata firma itu dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, sepatutnya, Rosmah sepertimana rakyat lain di negara ini berhak mendapat keadilan, kebebasan dan keupayaan mempertahankan kedudukannya.
Katanya, dakwaan tersebut hanya diselubungi dengan persepsi negatif pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Tambah Syed Ali, saman DOJ setebal 251 halaman yang difailkan sebelum ini tidak menyebut nama Rosmah tetapi hanya menyebut isteri MO1 yang tidak dinamakan.
"Bagaimana pembangkang boleh memberi gambaran seolah-olah Rosmah terbabit ? Sedangkan status individu seperti dalam gambaran berkenaan tidak secara pasti dikenali," katanya lagi.
Sebelum ini, Najib yang juga presiden Umno menafikan semua dakwaan salah laku yang berkaitan dengan 1MDB.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan nama Najib dan turut mengecam DOJ yang membayangkan Perdana Menteri seolah-olah ada kaitan dengan salah laku jenayah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA