Sabtu, 17 Jun 2017

Skandal 1MDB: Jangan beri alasan tiada bukti, Muhyiddin ingatkan Peguam Negara

Presiden PPBM berkata, sekiraya peguam negara seorang yang bermaruah, beliau mesti bertindak memulakan proses pendakwaan dengan segera susulan tindakan perundangan DoJ.
Muhyiddin-Yassin-apandi-aliPETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertindak atas “dasar prinsip dan maruah” ekoran tindakan perundangan kedua diambil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk melucut hak sejumlah aset yang dibeli, dipercayai menggunakan dana 1MDB.
“Jangan beri alasan tiada bukti. Saya tahu agensi penyiasat telah mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak),” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari.
Presiden PPBM itu berkata, sekiraya peguam negara seorang yang bermaruah, beliau mesti bertindak memulakan proses pendakwaan dengan segera susulan tindakan DoJ.
“Saya ingin mengingatkan peguam negara. Jangan halang proses keadilan kerana tanggungjawab kamu adalah untuk melaksanakan keadilan. Ingat, Allah s.w.t sentiasa memerhatikan segala tindak tanduk kamu!” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sudah sampai masanya rakyat mengadili Najib dan kerajaan Barisan Nasional.
“Rakyat adalah hakim negara. Sekiranya peguam negara gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendakwa Najib, saya percaya Najib akan ‘didakwa’ di gelanggang mahkamah rakyat dalam pilihan raya umum ke-14.
“Insya-Allah, Najib dan kerajaan pimpinannya akan diadili dan dijatuhi hukuman yang sewajarnya oleh rakyat nanti,” kata beliau merujuk kepada kenyataan peguam negara semalam.
Kata Muhyiddin, beliau hairan kerana Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan negara lumpuh untuk bertindak dari segi undang-undang sedangkan DoJ telah memfailkan saman untuk merampas aset yang diperolehi menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB?
“Jika wang telah dicuri, maka tentulah ada orang yang mencurinya,” kata beliau yang digugurkan dari Kabinet 2 tahun lalu susulan tindakannya membangkitkan isu 1MDB.
Kata Muhyidddin, beliau tidak dapat bayangkan Najib masih boleh berdiri sebagai perdana menteri setelah segala aspek didedahkan satu persatu.
Semalam, Apandi mempersoalkan saman terkini DoJ melalui dokumen lebih 140 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah AS kelmarin, dengan berkata pejabatnya masih “belum diberikan bukti” mengenai dakwaan kecurian dana daripada 1MDB.
“Kami sangat khuatir dengan usaha mengaitkan perdana menteri dengan salah laku jenayah.
“Tidak pernah dalam permohonan sivil itu perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau didakwa untuk kesalahan jenayah,” katanya.
Apandi mengulangi kenyataannya tahun lalu yang mendapati tiada jenayah dilakukan dalam siasatan beberapa agensi tempatan terhadap 1MDB.

“1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia yang disiasat dalam Malaysia, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua audit negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya.
DoJ memfailkan permohonan merampas lebih banyak aset termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, untuk mendapatkan balik sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) wang yang dikaitkan dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.
Permohonan terbaharu itu berkait dengan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Najib.
DoJ dalam siasatannya mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.
Antara aset yang menjadi sasaran dalam permohonan difailkan di mahkamah California semalam ialah hak cipta kepada 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey, dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell, filem terbitan syarikat anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta-juta dolar wang milik 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA