Isnin, 12 Jun 2017

Skandal 1MDB: Dua bank ditutup, lapan lagi didenda dalam siasatan 1MDB di Singapura

SIASATAN dua tahun yang dilakukan Singapura atas salah laku kewangan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan penutupan dua bank dan denda kepada lapan yang lain.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan perkara itu pada 31 Mei lepas menerusi laman sesawangnya berkata mereka sudah menyiapkan siasatan yang mengambil masa dua tahun itu, lapor Business Times.
Dua buah bank- BSI Bank dan Falcon Private Bank- dikenakan denda sehingga S$13.3 juta (RM41 juta) dan S$4.3 juta untuk lebih daripada 50 kesalahan yang dilakukan.
Bank tersebut juga diarahkan untuk menutup operasi mereka di negara yang menjadi pusat kewangan serantau itu.
Enam bank yang lain pula - DBS Bank, UBS Bank, Standard Chartered Bank, Coutts & Co, Credit Suisse dan UOB Bank- juga didenda S$11.5 juta.
MAS juga mengharamkan empat individu daripada bekerja dalam industri keselamatan kewangan Singapura.
Tim Leissner dari Goldman Sachs dikenakan arahan larangan (PO) menghalangnya daripada bekerja dalam industri kewangan Singapura selama 10 tahun.
Pengurus Cawangan Falcon Singapura Jens Fred Sturzenegger dan Yak Yew Chee dari BSI Bank dikenakan halangan seumur hidup manakala Yvonne Seah jurubank dari BSI dikenakan halangan selama 15 tahun.
Sturzenegger didapati bersalah atas pelbagai jenayah kewangan, termasuk memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa dalam cubaan untuk menyembunyikan pengetahuannya tentang hubungan Falcon Bank dan Low Take Jho.
Yak dan Seah pula didapati bersalah dalam pelbagai dakwaan gagal melaporkan transaksi meragukan dan memalsukan surat rujukan di BSI Bank untuk Low.
Ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan rundingan kapital pasaran dan kewangan atau menguruskan syarikat yang terlibat dalam pasaran kapital di Singapura.
MAS juga memberikan notis pemberitahuan untuk mengeluarkan PO kepada bekas kakitangan Maybank Kim Eng Securities Kelvin Ang Keng Wee, CEO NRA Capital Kevin Scully dan bekas ketua penyelidikannya Lee Chee Wai.

MAS mendakwa melalui pengenalan Ang, NRA dilantik untuk melakukan penilaian ke atas PetroSaudi Oil Services Limited. Ang didapati bersalah pada 24 Mei kerana merasuah Lee sebanyak S$3,000 untuk mempercepatkan laporan penilaian itu.
Lee ialah orang utama di NRA bekerja dalam penilaian tersebut. Selain menerima rasuah, Lee juga didapati menggunakan cara yang tidak sesuai dalam melakukan penilaian itu.
Selaku CEO NRA pula, Scully didapati gagal memastikan penganalisisnya, Lee melakukan tindakan, taakulan dan objektiviti terperinci dalam penilaian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA