Jumaat, 16 Jun 2017

Skandal 1MDB: DOJ tak sebut lagi 'Putera Saudi'

Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat tidak lagi menggunakan rujukan “Putera Saudi” dalam saman sivil pelucuthakan 1MDB terbarunya, berbanding pemfailan tahun lalu.
Sebaliknya, pemilik akaun Bank Riyad itu dirujuk sebagai “Saudi Associate 1” dan “Saudi Associate 2”, yang dinyatakan sebagai seorang warganegara Saudi yang bersekutu, hartawan Low Taek Jho dan sekutunya Eric Tan Kim Loong.
Akaun Saudi itu didakwa digunakan untuk memindahkan dana daripada 1MDB kepada Malaysian Official 1 – pegawai kanan kerajaan Malaysia yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Najib sudah berulang kali menafikan sebarang salah laku.
Pemfailan terkini itu dibuat pada 7 Jun untuk mendapatkan pelucuthakan sivil sebuah emper di London yang sepatutnya diperoleh Low menggunakan dana 1MDB.
Ini susulan beberapa siri saman pelucuthakan sivil serupa difailkan pada Julai tahun lepas, untuk merampas hak harta intelek filem The Wolf of Wall Street, sebuah pesawat, lukisan-lukisan dan harta tanah yang didakwa DOJ kononnya diperoleh secara salah.
Dalam pemfailan mahkamah DOJ itu dibuat pada 20 Julai 2016, pemegang akaun di Bank Riyad itu dirujuk sebagai seorang putera Saudi yang bersama mengasaskan PetroSaudi International bersama ketua pegawai eksekutif (CEO).
Laporan media sebelum ini menamakan Putera Turki Abdullah Abdel Aziz dan bekas pegawai bank Tarek Obaid sebagai pengasas bersama PetroSaudi. Tarek kini menjadi CEO PetroSaudi.
DOJ mendakwa akaun bank itu digunakan untuk memindahkan US$20 juta kepada akaun AmBank Malaysian Official 1 pada 2011 dan US$681 juta lagi pada Mac 2013.
Setakat ini, masih tidak jelas siapa Saudi Associates 1 dan Saudi Associates 2 dan kenapa perubahan itu dibuat serta sama salah seorang daripada pemilik kod nama itu masih merujuk kepada putera Saudi itu.
Sementara itu, pemfailan terbaru DOJ juga menyebut lukisan Claude Monet yang lain berbanding pemfailannya pada 2016.
DOJ kini mahu merampas lukisan cat minyak atas kanvas bertajuk “Nympheas” yang bersaiz 88.5 × 100 sentimeter, berbanding “Nympheas avec Reflets de Hautes Herbes” bersaiz 130 × 200 sentimeter yang disebut sebelum ini.
Perubahan itu susulan laporan Wall Street Journal.

1 ulasan:

  1. di dunia bolehlah nafikan, depan ALLAH nanti boleh ke????

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA