Sabtu, 17 Jun 2017

Skandal 1MDB: DoJ berhak rampas aset berkait 1MDB, kata Dr Mahathir

DR Mahathir Mohamad berkata Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berhak mengambil tindakan undang-undang merampas aset dipercayai dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB bernilai AS$540 juta, kerana jenayah itu dilakukan di Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu temu bual selama sejam dengan pengguna Facebook hari ini, Dr Mahathir menggambarkan rakyat Malaysia yang membeli aset dan hartanah dengan jumlah besar adalah sebahagian daripada skim pengubahan wang haram.
“Bila orang curi duit atau dapat duit banyak daripada contohnya perniagaan dadah, mereka perlu bersihkan duit itu seolah-olah mereka dapat secara halal.
“Macam mana dia buat, dia pergi ke negara lain dia beli harta. Jadi duit itu sudah jadi harta. Itu boleh mengelakkan dia mempunyai duit yang banyak. Itulah yang dia buat, beli harta banyak yang mahal-mahal di Amerika.
“Jadi Amerika berhak bertindak. Ini jenayah di Amerika bukan jenayah di Malaysia,” katanya.
Sebahagian aset yang dirampas dalam tuntutan DoJ termasuk lukisan Picasso yang diberikan kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio dan hak terhadap dua filem.
Rampasan itu adalah sebahagian daripada siasatan kes DoJ berhubung konspirasi pengubahan wang haram dipercayai daripada dana 1MDB, yang ditubuhkan Perdana Menteri Najib Razak pada 2009 untuk mempromosikan pembangunan ekonomi.
Bagaimanapun, Najib menafikan melakukan sebarang salah laku.
“Jika ada jenayah dalam kerajaan, itu tanggungjawab whistleblower (pemberi maklumat) untuk laporkan perkara itu. Jika tidak penipuan akan terus berlaku. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak dapat bertindak jika whistleblower tidak beri maklumat.
“Jabatan Kehakiman bertindak kerana jenayah itu berlaku di Amerika, membabitkan wang Amerika, bank Amerika dan hartanah Amerika,” kata Dr Mahathir.
DoJ dalam tuntutan sivilnya mendakwa lebih AS$4.5 bilion diambil daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dan sekutunya.

Dalam tuntutannya semalam, DoJ menamakan ahli perniagaan Low Taek Jho menggunakan wang berkaitan 1MDB untuk membeli hartanah yang hendak dirampas DoJ.
“Kita kena dapat kerajaan yang prihatin, yang tidak boros belanja, tidak salah gunakan kuasa, tidak salah gunakan kewangan negara. Sebaliknya semua ini boleh dilakukan dengan baik kalau kita tukar kerajaan yang janji untuk berkhidmat untuk rakyat dan tunaikan janji itu,” kata Dr Mahathir.
Dalam respons segera, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata pejabatnya masih belum diberikan bukti menunjukkan wang disalurkan daripada dana 1MDB.
Beliau berkata saman terbaharu DoJ sebagai saman ulangan AS$1 bilion tahun lepas, menyatakan kekecewaan kerana tidak diberikan pemberitahuan awal mengenai tindakan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA