Rabu, 21 Jun 2017

Skandal 1MDB: ‘Buktikan dakwaan berlian merah jambu DOJ palsu’

Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk membuktikan bahawa tuntutan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung kalung berlian merah jambu yang diberikan kepada isteri “Malaysian Official One (MO1)” adalah palsu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata ini berkaitan dengan butiran yang didedahkan oleh DOJ mengenai cara berlian itu diperolehi.
Ini termasuk sama ada isteri MO1 berjumpa dengan tukang emas Lorraine Schwartz di atas sebuah kapal layar di luar pantai Monaco pada Julai 2013, dan sekali lagi di sebuah hotel di New York pada 28 September 2013.
Pua juga mahukan Abdul Rahman menangkis dakwaan DOJ bahawa kalung yang siap itu kemudiannya diserahkan kepada seorang rakan isteri MO1 di Hong Kong pada 7 Mac.
"Jika Abdul Rahman dapat mengemukakan bukti, bagi pihak isteri MO1 bahawa tuduhan di atas adalah tidak benar, maka saya memberi jaminan kepada menteri dan semua dalam kabinet bahawa saya akan menjadi orang pertama dari pihak pembangkang untuk duduk bersamanya pada sidang akhbar untuk mengecam DOJ secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, jika tuduhan itu benar, ahli parlimen DAP itu berkata menteri Umno berkenaan mesti membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Khamis lalu, DOJ mendakwa bahawa AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 telah dikembalikan kepada pendermanya, sebaliknya dipindahkan kepada hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.
DOJ mendakwa bahawa Jho Low kemudian menggunakan sebahagian dana - yang didakwa diselewengkan dari 1MDB - untuk membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23.7 juta untuk isteri MO1.
Walaupun DOJ tidak menamakan siapa itu MO1 mahupun isterinya, Abdul Rahman berkata tuntutan mahkamah berkenaan memberi gambaran seolah-olah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor terpalit dalam salah laku.
Abdul Rahman pada tahun lalu juga mengesahkan bahawa Najib adalah MO1.

Bagaimanapun, beliau berkata hakikat bahawa Najib tidak dinamakan dalam saman itu menunjukkan perdana menteri bukan menjadi subjek siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil mencadangkan supaya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengadakan siri pertemuan rakyat untuk membincangkan isu 1MDB dan saman DOJ.
“Saya percaya Khairy tidak berani melakukan ini, atau beliau mungkin akan berdolak-dalih dengan pelbagai alasan politik lain.
“Diamnya Khairy dalam isu DOJ terkini ini jelas menunjukkan perwatakan beliau.
“Apa pun, negara dan masa depan kita tidak harus menjadi kebimbangan hanya satu belah atau satu pihak. Ini negara kita, masa depan kita, dan sebab itulah kita perlu bangkit bersama.
“Boleh tak?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA