Sabtu, 10 Jun 2017

Siasatan FGV bakal pengaruhi indeks utama Bursa

Pelabur juga dijangka mengambil sikap berhati-hati menjelang beberapa acara penting, oleh itu pergerakan indeks utama mungkin terhad dalam jajaran kecil minggu depan.
fgv-sahamKUALA LUMPUR: Pengukuhan dan belian giliran dalam kaunter berkaitan indeks, murah dan sederhana di Bursa Malaysia dijangka berterusan dalam dagangan pada minggu depan yang pendek disebabkan cuti.
Dari segi teknikal, kata peniaga, sokongan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,780 dan 1,760 mata.
Peniaga ekuiti berkata, kebanyakan petunjuk menyatakan paras psikologi 1,800 mata akan dijui bila-bila masa sahaja tidak lama lagi.
“Minat belian yang lemah dilihat sekitar 1,783 mata telah mencetuskan minat belian sokongan dan pasaran mungkin telah membentuk asas yang kukuh sekitar paras 1,760 mata.
“Ketika Bursa berada dalam fasa pengukuhan dan memasuki minggu dagangan yang pendek, belian giliran dengan minat dalam saham berharga rendah dan sederhana, dijangka berterusan,” kata peniaga kepada Bernama.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 12 Jun sempena cuti umum Nuzul al-Quran.
Dagangan akan kembali pada 13 Jun dan peniaga berkata, trend pada Selasa akan seiring dengan prestasi di Wall Street dan bursa serantau.
Peniaga lain berkata, dana institusi dalam saham bermodal besar, tempatan dan asing dijangka terus membantu FBM KLCI untuk kekal positif minggu depan, dipacu oleh kestabilan ringgit dan tanda-tanda pemulihan ekonomi global.
“Tetapi pelabur juga dijangka mengambil sikap berhati-hati menjelang beberapa acara penting, oleh itu pergerakan indeks utama mungkin terhad dalam jajaran kecil minggu depan.
“Pelabur menjadi lebih berhati-hati ketika menunggu perkembangan siasatan ke atas Felda Global Ventures Holdings Bhd, kesan keputusan dasar Bank Pusat Eropah, keputusan pilihan raya United Kingdom dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 13 dan 14 Jun,” tambah beliau.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research berkata, aktiviti pengambilan untung mungkin berterusan di bursa.
“Saham di Bursa Malaysia mungkin diniagakan lebih rendah, berikuatan harga minyak mentah Brent yang lebih lemah, yang didagang di bawah AS$50 setong.
“Sokongan FBM KLCI akan dilihat pada sekitar 1,760. Bagaimanapun, kami berpendapat tumpuan dagangan akan kekal pada sarung tangan, semikonduktor dan keluli ketika volum telah meningkat dalam kalangan industri terlibat,” katanya dalam 1 nota.
Pada asas minggu ke minggu, FBM KLCI naik 11.94 mata kepada 1,788.89, Indeks Emas FBM menambah 82.43 mata kepada 12,764.69, Indeks FBMT 100 menokok 77.81 mata kepada 12,403.14 manakala Indeks Syariah Emas FBM melonjak 120.79 mata kepada 13,015.14.
FBM 70 meningkat 77.11 mata kepada 15,255.82 manakala FBM Ace naik 29.75 mata kepada 6,382.23.

Pada asas sektor, Indeks Kewangan meningkat 86.15 mata kepada 16,790.02, Indeks Perusahaan naik 3.18 mata kepada 3,303.76 tetapi Indeks Perladangan jatuh 19.54 mata kepada 7,936.44.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.02 bilion unit bernilai RM12.01 bilion berbanding 12.34 bilion unit bernilai RM14.01 bilion yang dicatat minggu lepas.
Volum Pasaran Utama susut kepada 7.40 bilion saham bernilai RM11.35 bilion berbanding 8.55 bilion saham bernilai RM13.4 bilion.
Volum waran menambah kepada 1.43 bilion unit bernilai RM148.19 juta berbanding 1.24 bilion unit bernilai RM133.01 juta minggu lalu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengecil kepada 2.09 bilion unit bernilai RM464.18 juta berbanding 2.46 bilion unit bernilai RM457.36 juta sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA