Sabtu, 24 Jun 2017

Selepas tular gambar ahli PKR angkat sumpah...

PAS Kelantan berharap hasil “positif” akan diperoleh berkaitan kedudukan ahli majlis PKR di negeri itu, terutama selepas penularan gambar terbaru menunjukkan dua anggota parti itu mengangkat sumpah baru-baru ini.

"Pelantikan itu lama dah. Saya dah tandatangan pelantikan itu pada 3 Mei lalu. Tetapi sehingga hari ini masih ada beberapa orang yang belum tandatangan sebab arahan presiden parti PKR.
"Itu arahan presiden (PKR) dan kita kena rai. Kita faham arahan presiden itu mesti ada sebab-sebab tertentulah. Cuma saya difahamkan ada maklumat terbaru melalui perbincangan yang dibuat baru-baru ini antara PKR.
"Jadi, sempena Ramadan ini kita berharap ada perkembangan terbaru dan kita harap ahli majlis PKR terus kekal sehingga pilihan raya ini dan menjalankan tugas mereka sebagai ahli majlis," kata exco Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmod.
Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada Rabu lalu memuat naik gambar dua pemimpin akar umbi PKR mengangkat sumpah sebagai ahli majlis daerah di Facebook.
“Tahniah kerana dapat membezakan antara kerjasama politik dan kerjasama membangunkan negeri Kelantan," tulis Zamakhshari Muhamad.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir ketika dihubungi Malaysiakini semalam mengesahkan perkara itu untuk kawasan pasir Mas dan Bachok.

Beliau bagaimana menyifatkan tindakan itu bersifat peribadi dan bukan atas arahan parti.
"Bukan arahan kita atau arahan parti, dia pandai sendiri pergi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau tidak menjelaskan sama ada tindakan akan diambil atau tidak susulan tindakan itu.
Pengerusi jawatankuasa disiplin PKR Abdul Hadi Abdul Khatab memberitahu Malaysiakini, setakat ini tiada aduan berkaitan perkara itu dibuat.
“Kalau ada laporan kami akan siasat. Tetapi buat masa ini belum terima apa-apa, dari negeri pun tak,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, PKR memutuskan supaya semua lantikan politik ahli mereka dalam kerajaan Kelantan dilepaskan serta merta sebagai reaksi balas terhadap tindakan PAS membatalkan kerjasama politik.
Majlis Syura Ulama PAS pada awal Mei lalu membuat keputusan drastik itu selepas tidak puas hati dengan beberapa tindakan PKR, termasuk dalam usaha mereka melipatgandakan hukuman mahkamah syariah.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fattah berkata pelantikan dua ahli majlis itu sebenarnya telah dibuat bersama 37 orang lagi ahli PKR lagi.
Menurut Fattah, pelantikan itu dibuat atas sikap terbuka PAS selain menyifatkan parti Islam itu tidak mempunyai masalah dengan PKR di Kelantan.
"Kita di Kelantan tidak ada masalah dengan PKR, cuma kalau ada pandangan kami bermasalah itu pandangan masing-masing," tegas Abdul Fattah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA