Selasa, 20 Jun 2017

Salahuddin: Anwar mahu rakyat fokus lawan BN

Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk tidak menawarkan diri sebagai perdana menteri dibuat supaya rakyat memberi fokus kepada usaha menjatuhkan BN, kata Salahuddin Ayub.
Timbalan presiden AMANAH itu berkata, dari segi semangatnya, Pakatan Harapan (HARAPAN) bersetuju bahawa Anwar berperanan penting dalam politik walaupun beliau sedang dipenjarakan.
"Saya yakin apa yang dinyatakan Anwar itu adalah supaya kita jangan terganggu dengan isu pergerakan kita.
"Itu sebenarnya penegasan yang mahu Anwar sampaikan kepada HARAPAN," kata Salahuddin dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Pada 17 Jun lalu Anwar mengumumkan beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon perdana menteri HARAPAN.
Kenyataan itu dibuat ketika polemik mengenai calon yang boleh ditawarkan pakatan pembangkang untuk mengetuai kabinet jika ditakdirkan mereka berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
PRU ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan namun pemerhati berpendapat parlimen mungkin dibubarkan lebih awal daripada itu.
Menurut Anwar berkata langkah simbolik itu adalah untuk menggalakkan HARAPAN memberi tumpuan kepada pilihan raya umum dan bukannya bertelingkah mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri.
Pada sidang media sama, Salahuddin turut memaklumkan senarai jawatan dalam pucuk pimpinan HARAPAN akan diumumkan selepas Aidilfitri.
Katanya, hal itu kerana gabungan terbabit gagal mencapai kata sepakat dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutamadkan barisan kepimpinan itu sebelum hari raya.
"Kita tidak ada masa yang terluang untuk kami mengadakan mesyuarat beberapa hari ini kerana hari raya.
"Saya yakin perkembangan terbaharu akan dibuat secepat mungkin dan Majlis Presiden HARAPAN akan bermesyuarat untuk perkara itu selepas sambutan hari raya, dan mengumumkan logo serta senarai penuh pimpinan untuk didaftarkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA