Sabtu, 17 Jun 2017

Saksi kes wang perlindungan di Melaka ‘hilang’, kata SPRM

PENYIASATAN kes memberi perlindungan kepada perniagaan haram terbesar di Melaka yang melibatkan polis dan kumpulan penjenayah mungkin terbantut selepas pendedahan kehilangan beberapa saksi utamanya, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad berkata semua saksi sama ada bersembunyi atau meninggalkan negara ini.
"Siasatan masih berjalan tetapi terdapat beberapa saksi tidak dapat dikesan kerana mereka sudah melarikan diri dan tidak lagi berada dalam negara," katanya selepas merasmikan program Sahabat SPRM di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur petang ini.
Dzulkifli mengesyaki semua saksi mungkin bersembunyi selepas SPRM beralih arah kepada individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket yang memberi perlindungan kepada rumah urut dan pusat perjudian haram di Melaka.
Bulan lepas badan anti-rasuah menangkap ketua polis daerah Melaka Tengah dan Jasin kerana didakwa terbabit dalam memberi perlindungan kegiatan haram.
Beberapa pegawai kanan dari daerah dan negeri ibu pejabat polis turut ditahan dalam operasi itu. SPRM juga merampas sejumlah besar wang tunai dalam beberapa akaun bank milik suspek.
Turut ditahan adalah orang awam bernama "Gopi" yang didakwa Sarawak Report mempunyai hubungan telefon langsung dengan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar. Khalid mengakui mengenali Gopi dan suspek juga pernah ke rumahnya.
Mengulas mengenai itu, Dzulkifli berkata, ia hanya dakwaan laporan dalam talian.
Beliau berkata SPRM akan menjalankan siasatan sendiri dan tidak menolak kemungkinan Khalid akan disoal.
"Ia bergantung kepada siasatan kami. Sama ada terdapat keperluan (untuk memanggil beliau atau tidak) kita akan lihat," kata Dzulkifli.
Berikutan operasi SPRM di Melaka, Khalid mengarahkan rombakan besar-besaran di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Pegawai polis yang ditangkap dan kemudian dibebaskan dengan jaminan serta-merta dipindahkan ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman manakala pegawai baru dihantar untuk menggantikan mereka di Melaka.

3 ulasan:

  1. Balasan
    1. Macam mana ler malaysia nak hapus jenayah jika macam ni.
      Saksi boleh bersembunyi di luar negara, macam mana boleh bolos imigresen mcm sarul kes altantuya?

      Padam
    2. Yahoooo!
      Pasti best ceritanya. Seronoknya, teman pun nak nunggu laa!

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA