Sabtu, 3 Jun 2017

RM9.5 Juta: Najib bayar atau tidak, keputusan bicara Anwar tidak terkesan, kata Nazri


SAMADA perdana menteri membayar atau tidak wang hampir RM10 juta kepada ketua pendakwaraya dalam kes perbicaraan liwat Anwar Ibrahim tidak relevan dalam perbicaraan itu, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Abdul Aziz.
Didesak supaya menjawab soalan berkaitan dakwaan pembayaran daripada perdana menteri, sekiranya benar-benar berlaku, boleh memberi pengaruh kepada keputusan bicara, Nazri berkata pembayaran kepada pendakwaraya kes itu tidak mempunyai kesan kepada keputusan mahkamah.
“Tidak ada (kesan). Satu-satunya perkata yang boleh mengubah keputusan sekiranya hakim yang dibayar.
“Bukannya, macam bila anda bayar RM10 juta (kepada pendakwaraya) perbicaraan itu berlaku dengan lebih pantas, atau kalau bayar RM5 juta, perbicaraan jadi lambat,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, menteri kebudayaan dan pelancongan itu berkata dia secara peribadinya tidak mempercayai laporan Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Najib Razak membayar peguam Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.
“Saya tak percaya. Mengapa Najib perlu bayar dia? Kerajaanlah yang perlu bayar (Shafee) bukannya Najib. Sarawak Report tidak boleh dipercayai,” kata Nazri.
Nazri berkata pendakwaraya dibayar untuk mendakwa, tetapi mengatakan dia tidak mengetahui berapa banyak Shafee dibayar untuk peranannya dalam perbicaran itu.
Pada Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu Parlimen yang Shafee dibayar gaji sebanyak RM1,000 untuk tugasnya sebagai ketua pendakwaraya dalam perbicaraan kes liwat Anwar, ketua umum pakatan pembangkang itu.
Dia juga memaklumkan dewan yang Shafee tidak meminta bayaran atas khidmatnya itu.
“Dia tidak mahu sebarang bayaran untuk khidmatnya tetapi kami mahu telus dan selepas memberikan dia terma rujukan, kami bersetuju dengan bayaran itu,” katanya.
Pada 31 Mei, Sarawak Report mendakwa yang Shafee menerima sejumlah RM 9.5juta yang dibayar terus daripada akaun yang dipercayai milik Najib daripada wang 1MDB.
Laporan itu mendakwa yang wang itu datang daripada akaun bank “yang telah dikenalpasti menerima dana daripada anak syarikat 1MDB, SRC yang meminjam RM4 bilion daripada dana pencen penjawat awam KWAP”.
Shafee didakwa menerima bayaran sebanyak RM4.3 juta pada September 2013 dan RM 5.1 juta pada Febuari 2014.
Kerajaan melantik Shafee sebagai ketua pendakwaraya pada 2013 berbanding menggunakan khidmat pendakwaraya awam dalam pendakwaan di Mahkamah Rayuan menentang keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2015 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepadanya.
Sarawak Report menyebut yang bayaran kali kedua sebanyak RM5.2 juta diberikan kepada Shafee dua minggu sebelum keputusan membatalkan pembebasan Anwar.
Berikutan pendedahan itu, tekanan memuncak mendesak siasatan polis dilakukan kepada dakwaan itu.
Desakan terbaru dilakukan Majlis Peguam yang meminta polis menyiasat dakwaan “serius” terhadap Shafee itu.
“Polis perlu menyiasat kes ini seteliti mungkin kerana dakwaan ini sangat serius,” kata Presiden Majlis Peguam George Varughese.
Shafee tidak membalas panggilan dan mesej pesanan ringkas The Malaysian Insight untuk mendapatkan penjelasannya.

3 ulasan:

  1. Benarkan polis atau parlimen buat siasatan. Baru tahu siapa benar.

    BalasPadam
  2. Knp mamat ni yg terasa?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Siapa mkn lada dia lah rasa pedas. Pemimpin yg mempertahan salah laku ketua, bukan lah seorang pemimpin dan pejuang rakyat yang patut disanjung.

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA