Isnin, 5 Jun 2017

Rasuah bukan punca utama hutang tinggi sembang Idris

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron hari ini menolak dakwaan kononnya gejala rasuah merupakan antara punca utama hutang kerajaan negeri pada tahap yang tinggi.
Beliau berkata hutang negeri berpunca daripada kerajaan negeri perlu melaksanakan tanggungjawab menyediakan keperluan prasarana kepada rakyat dan tidak mempunyai punca keberhasilan bagi menanggung sesuatu projek.
"Banyak lagi punca-punca lain termasuk perlu menanggung projek bekalan air, infrastruktur sukan, industri kecil dan sederhana, perumahan awam kos rendah.
"Pelbagai lagi projek yang membabitkan pembangunan prasarana atau infrastruktur yang terpaksa dilakukan melalui sumber pinjaman daripada kerajaan persekutuan," katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Melaka hari ini.
Khoo bertanya sama ada kerajaan negeri setuju bahawa satu daripada punca utama hutang negeri berada pada tahap tinggi adalah kerana rasuah.
Idris berkata kerajaan negeri sememangnya akan memperuntukkan bayaran balik pinjaman berdasarkan kepada status kewangan negeri.
Sementara itu, beliau berpendapat gejala rasuah yang berlaku adalah berpunca daripada kurangnya didikan moral mengenai kefahaman nilai-nilai sejagat dan didikan agama seseorang individu dengan melakukan kerja di luar garis panduan.
Beliau berkata individu yang terlibat dengan gejala rasuah mempunyai niat untuk menganiaya dan menyalahgunakan kuasa mereka.
"Mereka melakukan sesuatu yang di luar norma kehidupan dan lazimnya mereka yang melakukan perkara bertentangan ini merupakan orang yang gemar melanggar undang-undang negeri dan peraturan-peraturan jabatan demi kepentingan dan keuntungan diri sendiri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA