Jumaat, 30 Jun 2017

Rakyat mahu RCI siasat 1MDB dahulu sebelum skandal forex

SEMAKIN ramai rakyat Malaysia yang mahukan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) dibentuk untuk menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding siasatan  kepada kerugian perdagangan forex Bank Negara (BNM) yang berlaku pada awal 90an semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Seminggu yang lalu, Kabinet memutuskan yang RCI akan dibentuk untuk menyiasat kerugian perdagangan forex BNM dan sejak itu, pemimpin pembangkang dan pergerakan masyarakat sivil mengecam keputusan itu, menyifatkannya sebagai serangan ke atas Dr Mahathir Mohamad yang kini menyertai barisan pembangkang.
Mereka mengatakan yang RCI kepada 1MDB lebih penting berbanding siasatan  skandal yang berlaku lebih tiga dekad lepas itu.
Tumpuan kepada 1MDB kembali memuncak baru-baru ini selepas Jabatan Kehakiman Negara Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil untuk memulakan  rampasan aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 juta), dipercayai dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada 1MDB.
DoJ kini mempunyai tiga saman untuk merampas hartanah, karya seni dan aset kewangan yang didakwa dibeli menggunakan wang rompakan 1MDB.
Mizan Kamaruddin, 22, yang tinggal di Kuala Lumpur berkata 1MDB perlu disiasat terlebih dahulu.
“1MDB lebih baru kan? Bukankah lebih berkesan kalau siasatan itu ditumpukan kepada 1MDB dahulu?” katanya kepada The Malaysian Insight di Times Square, Kuala Lumpur.
Mizan berkata tidak ramai orang mengetahui mengenai skandal forex BNM kerana ia sudah  lama berlaku dan lebih baik sekiranya pihak berkuasa menumpukan kepada apa yang mereka tahu terlebih dahulu, berbanding menggali masalah silam.
“Lihat sahaja kesan 1MDB sekarang. Matawang kita (ringgit Malaysia) jatuh mendadak. Semakin banyak ia jatuh, semakin rakyat menderita,” kata Mizan.
Pelajar pengurusan  hotel Azwan Ismail, 21, juga bersetuju dengan Mizan.
“Sejak lima tahun lepas, banyak masalah dan laporan tentang 1MDB, jadi saya rasa RCI kena siasatnya dahulu, barulah betul. Siapa yang tahu apa yang akan berlaku 20 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Perdana Menteri Najib Razak di Putrajaya.
Azwan percaya yang tidak perlu sebenarnya untuk menubuhkan 1MDB, kerana negara sudah mempunyai institusi pengurusan harta yang mencukupi bagi membantu membangunkan negara.
“Kami juga mahu mahu apa sebenarnya peranan 1MDB? Perlu ada penjelasan. Adakah ada sesuatu yang ingin disembunyikan dalam masalah ini?” katanya.
Figo Chin Wen Hui, 24, pula berkata generasinya tidak mengetahui secara mendalam tentang skandal forex BNM sehinggalah ia diperkatakan kembali baru-baru ini.
“Kita tidak boleh memilih skandal mana yang perlukan RCI tetapi memandangkan saya lebih banyak membaca tentang isu 1MDB, saya rasa ia perlu disiasat terlebih dahulu berbanding yang lain,” kata Chin ketika ditemui di Midvalley Megamall di Kuala Lumpur.
Dia menambah yang skandal forex tidak mempunyai kesan langsung pada masa kini kerana ia sudah lama berlaku, tetapi skandal 1MDB yang baru berlaku ini memberi kesan kepada kualiti hidup kerana ia menjadikan harga barangan menjadi lebih mahal.
Anne Indahwati, 51, dari Puchong berkata kedua-dua skandal 1MDB dan forex BNM perlu disiasat.
“Kedua-dua kes sangat penting, walaupun saya tak tahu banyak tentang RCI. Bila menyentuh soal salah guna dana awam, kedua-duanya perlu disiasat. Kami mahu dengar fakta,” katanya.
Penulis blog yang berpangkalan di Pulau Pinang, Zainulfaqar Yaacob,34, berkata lebih mustahak untuk menyiasat 1MDB kini berbanding skandal forex yang berlaku lebih 30 tahun lalu.
“Skandal forex ialah kesilapan pelaburan. 1MDB pula mengenai dana awam yang dirompak dari Malaysia. Kedua-duanya skandal yang berbeza.

“Kerajaan pusat perlu segerra membentuk RCI untuk menyiasat kecurian dana awam berbanding kerugian forex 30 tahun lepas,” katanya.
Bagi Hadi Khalid, 1MDB lebih mustahak kerana isu lain sudah dibentangkan di Parlimen sebelum ini.
Hadi,34, seorang penterjemah dari Gombak, berkata kerugian forex BNM boleh disiasat kembali, tetapi sekiranya perlu memilih antara dua, dia lebih mahukan skandal 1MDB disiasat.
“Isu forex sudah dibentangkan di Parlimen sebelum ini. 1MDB pula, kita tidak boleh bertanyakan langsung mengenainya di Parlimen, walaupun skandal itu disiasat sekurang-kurangnya di sembilan negara lain.
“Malaysia satu-satunya negara yang menutup semua kertas siasatan, dan tiada seorangpun yang didakwa. Kita masih tidak tahu sedalam mana skandal ini,” katanya.
“Kami hanya tahu sedikit, berapa banyak yang dibelanjakan untuk perkara tertentu, daripada saman terbaru DoJ,” kata Hadi lagi.
“Saya pernah belajar ekonomi sebelum ini, dan ya forex BNM, mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan tetapi ia kes berbeza.
“Isu forex ialah mengenai kesilapan kerajaan dalam spekulasi matawang antarabangsa, ia mengenai kecekapan yang menyebabkan kerugian, bukan rompakan.”
S. Mageswaran, 58 dari Rawang juga mempunyai pandangan serupa. Dia berkata bukan sahaja kedua-dua skandal itu perlu disiasat tetapi skandal lain seperti skandal Maminco yang berlaku pada 1980an juga perlu disiasat.
“Mewujudkan RCI untuk 1MDB dan BNM tidak mencukupi. Banyak lagi skandal Malaysia yang melibatkan duit. Lihat sahaja Maminco, orang sudah penat dan jemu dengan skandal sebegini.
“Tak ada guna untuk kata perdana menteri betul atau salah. Saya mahu tahu di mana semua duit ini hilang dan bagaimana kerajaan akan menghalang perkara serupa 1MDB daripada berlaku sekali lagi.
“Jika tidak, tidak kisahlah banyak mana RCI kita tubuhkan atau saman difailkan, skandal wang ini tidak akan berakhir,” katanya kepada The Malaysian Insight.

1 ulasan:

  1. Sesiapa saja yg bersalah dalam mana2 skandal yg menyebabkan kehilangan wang kerajaan mesti dihukum. Bukankah keadilan Islam pun begitu?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA