Rabu, 21 Jun 2017

Rakyat diseru lapor penyelewengan 1MDB, adakah SPRM berani bertindak?

Rakyat Malaysia digalakkan untuk melapor salah laku dan penyelewengan jenayah penggubahan wang haram 1MDB kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, seruan itu selaras dengan pengumuman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang menggalakkan orang ramai supaya ‘berani’ tampil kehadapan melaporkan salah laku rasuah kepada agensi tersebut.
Menurutnya, ‘keberanian’ rakyat negara ini melaporkan salah laku rasuah 1MDB akan “membantu SPRM merealisasikan revolusi anti-rasuah dalam memastikan negara bebas dari rasuah dan salah guna kuaasa dalam tempoh tiga tahun menjelang 2020.”
Justeru, mereka boleh memfailkan aduan terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram oleh 1MDB dengan menelefon nombor bebas tol 1800-88-6000.
“Bagaimanapun, persoalan terbesarnya ialah, adakah SPRM sebagai orang biasa ‘berani’ untuk menyiasat Malaysian Official 1 (MO1) dan isterinya, begitu juga menyiasat pegawai-pegawai 1MDB seperti Jho Low dan yang terlibat atas jenayah yang telah dilakukan mereka kepada negara?” soalnya.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata, pendedahan terkini saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat minggu lalu menyebabkan rakyat Malaysia marah dan terkejut.
Dalam tindakan terbaru DoJ itu, ia mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion telah dicuri dan diselewengkan dari dana pelaburan 1MDB dan sedang berusaha untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion.

Wang yang telah diselewengkan itu antara lain digunakan untuk membeli sebuah kapal layar, perniagaan pusat kecergasan, lukisan mewah, barangan kemas dan berlian.
Apa yang menghairankan, di sebalik pendedahan menggemparkan hasil siasatan DoJ tersebut, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sebaliknya terus mengulangi bahawa pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan jenayah.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak pula cuba mempertahankan ‘bosnya’ dengan mengelirukan orang ramai dengan dakwaan kononnya tindakan DoJ adalah satu campur tangan asing, sedangkan jenayah tersebut dilakukan di Amerika Syarikat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA