Selasa, 6 Jun 2017

Rafizi dakwa Najib bayar seorang lagi peguam RM325,000

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar seorang lagi peguam yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dana berkaitan SRC International.
Memetik dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bocor, beliau berkata Najib membayar RM325,188 kepada peguam itu pada tahun 2011.
Bayaran itu, kononnya untuk mengketepikan sepina kepada perdana menteri untuk tampil memberi keterangan dan disoal-balas semasa perbicaraan kes liwat II.
Rafizi mendakwa SPRM telah mengesahkan pemindahan wang berkenaan dan menyoal firma undang-undang di mana peguam itu bekhidmat.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama peguam dan firma undang-undang berkenaan sementara menunggu ulasan mereka berhubung dakwaan itu.
Dokumen-dokumen yang dirujuk oleh Rafizi, adalah dari sprminsider.blogspot.com blog yang aksesnya telah disekat oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).
Minggu lalu, Sarawak Report mendakwa bahawa perdana menteri membayar peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.
Portal itu mendakwa bahawa wang berkenaan disalurkan melalui dua bayaran dari akaun yang sama di mana dana SRC dimasukkan ke dalamnya. SRC adalah sebuah firma milik negara, dan bekas anak syarikat 1MDB.
Muhammad Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes liwat II yang membabitkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kes itu dibicarakan di mahkamah rayuan dan persekutuan.
Malaysiakini tidak dapat untuk mengesahkan kesahihan dakwaan Rafizi mahupun Sarawak Report.
Portal berita ini juga telah menghubungi SPRM dan setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Shariffudin Tengku Ahmad untuk maklum balas mereka mengenai dakwaan Rafizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA