Isnin, 26 Jun 2017

PRU14: Ramai sedar, mahu perubahaan di Kelantan, kata Umno

Umno Kelantan akan berusaha menarik sokongan generasi muda dan pengundi yang bekerja di luar negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dalam usaha menawan kembali Kelantan selepas 27 tahun di bawah pentadbiran kerajaan PAS.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata ketika ini terdapat perubahan terhadap sokongan kumpulan itu terhadap Umno terutama dalam kalangan orang muda dari Kelantan yang menetap di luar negeri itu serta golongan mahasiswa.
“Sudah ramai yang sedar dan mahukan perubahan di negeri ini. Mereka faham mengenai pembangunan di Kelantan kerana mereka terdiri daripada kalangan cerdik pandai juga.
“Setakat in, sokongan kuat daripada golongan ini memberi kekuatan kepada Umno,” katanya kepada pemberita pada majlis Mesra Aidilfitri Orghe Parlime Terre (Orang Parlimen Ketereh) di kediamannya di Bukit Marak, di Kota Bharu, hari ini.
Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh, berkata beliau yakin pengundi luar daripada golongan orang muda mampu membawa perubahan pada PRU14 ini.
“Golongan muda sudah memberi banyak peluang kepada PAS dan sekarang mereka tidak menolak kebaikan yang dilakukan oleh Umno,” katanya.
Mengulas mengenai ‘perang bendera’ yang berlaku terutama ketika perantau pulang menyambut lebaran di Kelantan ketika ini, Annuar berkata ia tidak membawa sebarang makna kerana tiada sebarang bantuan dihulurkan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata Umno mengambil langkah untuk tidak terlibat dalam ‘perang’ bendera itu dan di sebaliknya memilih untuk membantu rakyat secara senyap-senyap tanpa sebarang publisiti.
"Kita tidak melihat perbuatan memacak bendera itu sebagai gerakan (membantu rakyat). Gerakan Umno sepanjang Ramadan amat banyak malah sudah berpuluh ribu rakyat dibantu.
"Di kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Ketereh lebih 20,000 rakyat dibantu secara senyap-senyap tanpa publisiti. Kalau kita sibuk mahu memacak bendera sudah tentu kita akan terlupa agenda sebenar mahu membantu mereka, " katanya.

1 ulasan:

  1. Kelantan akan diambil PH nanti... PAS boleh gulung tikar.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA