Sabtu, 3 Jun 2017

Politik rahmah lawan politik perkauman


Menghampiri PRU14, propaganda kaum dan agama yang dijelmakan Umno dan giat pula didukung oleh cybertrooper Pas bukanlah sesuatu yang baharu. Bezanya, menuju PRU13 lalu, Umno menggunakan Majlis Profesor Negara, kini muncul watak baharu bernama Kamarul Yusof.
Shazni Munir Mohd IthninKamarul jelas menjadi frontier Umno dan Pas dalam menunggang politik jijik ini di tengah khalayak. Malangnya, dalam beliau terlalu sibuk memomokkan Pakatan Harapan melalui serangan terhadap Hannah Yeoh, beliau lupa bahawa dalam kabinet Najib Razak sendiri terdiri daripada penganut Kristian, Buddha dan Hindu.
Sebagai contoh, Datuk Dr Yap Kain Ching atau lebih dikenali sebagai Mary Yap. Beliau merupakan Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia) sewaktu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi) pada 2013. Mengapa Kamarul tidak bising-bising ketika ini? Adakah 'war room' Umno belum bagi arahan lagi ketika itu?
Amanah, sebagai parti Islam bertunjangkan "Rahmatan Lil Alamin" sama sekali tidak akan mempertikaikan kedudukan Mary Yap sebagai Timbalan Menteri hanya semata-mata latar belakang agama beliau. Kalau wujud pun percanggahan atau bantahan, ianya berakar daripada sokongan beliau terhadap kerajaan kleptokrasi Najib Razak, atau mungkin ketempangan polisi dan dasar kementeriannya.
Dalam sistem dwi parti, paling utama adalah perkumpulan politik yang dipilih. Pemimpin-pemimpin beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian wujud dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Apa yang membezakan keduanya adalah menyokong atau menolak kleptokrasi Najib Razak. Menerima atau menolak kerajaan rasuah dan terpalit dengan salahguna kuasa.

Lantas saranan kami kepada orang-orang Umno dan Pas yang giat bermain politik perkauman dan agama agar berhentilah dengan modus tercela ini. Orang Melayu tidak bodoh. Buktikan keupayaan dan rekod kerja kamu dalam meraih undi. Bukan berselindung di balik sentimen agama untuk mengelirukan pengundi.
PRU-14 mengisyaratkan kepada kita perlawanan antara Politik rahmah dan politik perkauman. Pemuda Amanah meyakini rakyat Malaysia punya tekad yang kuat memenangkan Politik rahmah dan menolak kleptokrat sesuai dengan prinsip-prinsip agama, moral dan etika yang dijunjung oleh semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA