Isnin, 5 Jun 2017

PH mungkin hilang Bersatu jika pertikaian kepimpinan tak selesai


PH mungkin hilang Bersatu jika pertikaian kepimpinan tak selesai
Pemimpin Bersatu yakin jika PH menonjolkan Dr Mahathir Mohamad melawan Najib Razak pada PRU14, mudah bagi mereka mendapatkan sokongan orang Melayu terutama penyokong Umno.
ISU siapa yang patut mengetuai Pakatan Harapan (PH), dan mungkin Malaysia yang masih belum mencapai kata sepakat menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin meninggalkan gabungan pembangkang itu.
Jika isu kepimpinan masih tidak dapat diselesaikan ketika pemimpin PKR, DAP, Amanah dan Bersatu bertemu Jumaat ini, ada kemungkinan besar parti politik diasaskan Dr Mahathir Mohamad itu akan bertanding pada PRU14 secara bersendirian.
Penganalisis politik berkata jika perpecahan itu berlaku, PH tidak akan terkubur kerana kedua-dua pihak masih boleh bersama dalam pakatan pilihan raya.
Tetapi isu lebih besar ialah tanggapan negatif ketidakmampuan mereka menyelesaikan isu utama dalam pilihan raya Malaysia, terutama dengan anggaran 15% pengundi Melayu atas pagar dan 22% pengundi bukan Melayu.
Pertikaian utamanya ialah adakah Anwar Ibrahim patut menjadi pilihan gabungan itu sebagai perdana menteri jika pembangkang berjaya menyingkirkan Barisan Nasional (BN).
Sesetengah pemimpin pembangkang percaya sukar untuk menjual Anwar sebagai perdana menteri akan datang, memandangkan beliau menjalani hukuman penjara kerana meliwat dan memerlukan pengampunan diraja.
Terlalu banyak jika dalam keadaan itu, menyebabkan mereka lebih suka jika calonnya ialah Dr Mahathir atau Muhyiddin Yassin.
Sumber Bersatu memberitahu The Malaysian Insight parti diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir itu bersedia keluar daripada pakatan pembangkang jika ahlinya gagal bersetuju dengan barisan kepimpinan pada mesyuarat majlis presiden PH pada 9 Jun.
“Bersatu sangat jelas, kami mahu jatuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan BN pada PRU14. Lihatlah bagaimana pengerusi kami Dr Mahathir bekerja. Kita jangan lupa umur dia 92.
“Jadi kalau kita tak dapat selesaikan isu ini pada mesyuarat 9 Jun, lebih baik kami tinggalkan PH. Kalau kalah PRU14 pun, sekurang-kurangnya penyokong lihat kami serius dan bersungguh-sungguh melawan BN,” katanya kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.
Jika ini berlaku, harapan PH untuk menawan Putrajaya semakin tipis kerana penyertaan Bersatu dalam gabungan itu diharapkan dapat memberikan sejumlah undi Melayu yang tidak dapat diperoleh pada PRU13 sebelum ini untuk mengalahkan BN.
Sumber itu berkata pimpinan Bersatu berpendapat, sesetengah kumpulan dalam PKR tidak serius untuk mengalahkan BN pada PRU14 dan cuba mensabotaj PH apabila menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri ketujuh.
“Ini kerana jika PH menang PRU14, Anwar tidak mungkin dapat jadi PM ketujuh dan seseorang perlu menjawat jawatan PM itu sebelum Anwar.
“Satu-satunya cara untuk memastikan Anwar dapat jadi PM ialah memastikan PH kalah pada PRU14 dan tunggu sehingga PRU15 baru bekerja untuk menang,” katanya.
The Malaysian Insight difahamkan Bersatu juga tidak dapat menerima Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengerusi PH kerana ahli Parlimen Permatang Pauh itu hanyalah “pemanas kerusi” kepada suaminya, Anwar.
Mereka berkata ini akan menyukarkan Bersatu meyakinkan penyokong mereka di akar umbi terutamanya ahli Umno untuk mengundi PH pada PRU14.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan PH masih belum menghantar pendaftaran mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana berlaku pertikaian berhubung senarai keanggotaan Majlis Presiden.
Senarai keanggotaan Majlis Presiden menjadi isu paling hangat di kalangan parti dalam PH kerana ia dianggap “Kabinet Bayangan” atau “Pasukan Impian” bagi gabungan pembangkang sebagai alternatif BN.
Bagi sesetengah pemimpin PH pula, senarai keanggotaan Majlis Presiden hanyalah satu formaliti untuk dihantar kepada RoS dan pimpinan sebenar hanya akan diumumkan selepas menang PRU14.
Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight sesetengah pemimpin PH tidak mahu Dr Mahathir dan Bersatu terlalu menonjol kerana ini akan menimbulkan persepsi gabungan itu sudah diambil alih.

"Ini imej tidak baik dan kita tidak akan mendapat sokongan penuh rakyat. Sedangkan dalam pilihan raya lalu, Pakatan mendapat 53% undi popular.
“Jadi kami bimbang akan berlaku sebagaimana peribahasa Melayu 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," kata salah seorang pemimpin PH kepada The Malaysian Insight.
Katanya, Bersatu mencadangkan pertembungan antara Dr Mahathir melawan Najib sebagai strategi PRU14 dan disebabkan itu beliau perlu dinamakan sebagai pengerusi Majlis Presiden PH dan Dr Wan Azizah sebagai timbalan.
Mesyuarat PH pada awal Mei bersetuju menamakan Dr Wan Azizah sebagai pengerusi kerana kedudukannya sebagai ketua pembangkang. Sementara Dr Mahathir pula merupakan penasihat kepada PH.
Pemimpin itu berkata Bersatu yakin jika PH menonjolkan Dr Mahathir melawan Najib pada PRU14, mudah bagi mereka mendapatkan sokongan orang Melayu terutama penyokong Umno.
Bagaimanapun perkara ini dibantah sesetengah pemimpin yang berpendapat perlu ditonjolkan pemimpin PH lain seperti Anwar, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang bergabung dengan Dr Mahathir dalam melawan Najib.
"Bila mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan. Maksudnya, hujan boleh jadi turun tetapi belum tentu.
“Jadi umpama baru dengar guruh, iaitu ura-ura Tsunami Dr Mahathir akan berlaku, kita curahkan segala air yang kita ada. Lebih baik kita gabungkan kekuatan dan ia akan menjadi besar dan kuat," katanya yang mahu PH mengekalkan keputusan mesyuarat pada awal Mei lalu.

2 ulasan:

  1. Anwar telah bnyk berkorban dan bersama pakatan. Parti Mahadir baru masuk dah nak minta jadi pm. Awal awal lagi tunjukkan sombong dan mengugut utk keluar ph. Apa punya kawan daa? Bo layan lah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bo layan kau sorang je lah..
      Kau igt PH begitu sng nak dptkan sokongan melayu tanpa bersatu..?
      Otak senteng!

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA