Jumaat, 2 Jun 2017

Peningkatan kos sara hidup turut jejas negeri terkaya Malaysia


Peningkatan kos sara hidup turut jejas negeri terkaya Malaysia
Bilangan keluarga fakir dan miskin di Selangor bertambah sebanyak 2,207 menjadikan jumlahnya 46,500 keluarga pada 2016 berbanding 44,393 tahun sebelumnya.
PENINGKATAN kos sara hidup dan pemberhentian pekerja berskala besar dikenal pasti punca meningkatnya bilangan keluarga miskin di Selangor, kata Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Menurut kenyataan dikeluarkan Mais yang dibaca semasa khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor hari ini, bilangan keluarga fakir dan miskin bertambah sebanyak 2,207 menjadikan jumlahnya 46,500 keluarga pada 2016 berbanding 44,393 tahun sebelumnya.
Menurut khutbah, faktor utama adalah peningkatan kos sara hidup yang membebankan dan pemberhentian pekerja secara beramai-ramai ekoran pihak majikan ingin menurunkan kos operasi.
Ia berdasarkan laporan kutipan dan agihan zakat fitrah di Selangor pada 2016 yang berjumlah RM22.2 juta.
Pada tahun yang sama, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM32 juta kepada 46,500 keluarga asnaf fakir dan miskin bagi persiapan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
"Pada 2016 jumlah asnaf fakir dan miskin meningkat dari 44,393 keluarga kepada 46,500 keluarga.
"Peningkatan sebanyak 2,207 keluarga fakir miskin ini mendorong peningkatan bantuan dan keutamaan pengagihan zakat kepada mereka berbanding asnaf lain," kata khutbah itu.
Tahun ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor  menetapkan harga zakat fitrah bagi negeri itu ialah sebanyak RM7.00 seorang.
"Oleh itu, khatib ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekelian, bersempena dengan keberadaan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, lunaskanlah kewajipan zakat fitrah demi beroleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan memberi kegembiraan kepada golongan fakir dan miskin di negeri ini untuk memenuhi keperluan hidup mereka bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Jemaah turut diingatkan tanggungjawab membayar jenis zakat yang ditetapkan dalam Islam seperti zakat harta, pendapatan, perniagaan dan simpanan wang.

Pada masa kini, katanya, pelbagai kemudahan pembayaran zakat disediakan.
Pihak LZS melantik 2,671 amil yang bertugas di seluruh masjid dan surau serta kemudahan 28 kaunter di seluruh Selangor.
LZS adalah institusi amil yang dilantik Sultan Selangor bagi menguruskan hal ehwal zakat negeri.
Gerak kerja yang dilakukan sentiasa di bawah pemantauan pihak Mais dan diaudit secara teliti lima pemantau bebas daripada pelbagai agensi termasuk pihak audit negara untuk memastikan kutipan dan agihan zakat dilaksanakan dengan telus, katanya.
"Bahkan laporan audit didedahkan kepada umum di dalam Laporan Tahunan seperti Laporan Audit Negara," kata khutbah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA