Selasa, 13 Jun 2017

‘Pengkhianatan masa depan anak Terengganu’

Syabas kepada Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, kerana sanggup untuk menghidupkan semula dan menyelamatkan projek Taman Ilmu di Tembila Besut.
Sudah 12 tahun projek Tapak Kompleks Pusat Pendidikan Tinggi Negeri Terengganu berlalu.
Projek ini yang menelan kos jauh lebih tinggi dari kos asal, RM350 juta di atas tapak 700 ekar masih lagi belum siap, banyak kerosakan dan kecurian yang berlaku di lokasi projek tersebut.
Bagaimana tragedi ini boleh berlaku kepada projek yang sangat mulia pada asalnya dan telah menelan jutaan wang rakyat dibenarkan terus merosak dan dibiarkan hari demi hari?
Wang rakyat lebur begitu sahaja. Dua belas tahun rakyat Terengganu melihat tiga menteri sesar Terengganu Barisan Nasional telah memegang jawatan ini dan dalam tempoh ini masalah ini masih tiada penyelesaian.
Kelihatannya projek negeri "Kuwait Malaysia" yang kaya dengan hasil minyak masih gagal untuk menyelesaikan projek seperti ini, ternyata menteri besar daripada BN tidak boleh pakai.
Apakah tiada orang berwibawa dan profesional dalam Kerajaan Terengganu yang boleh menyelesaikan masalah yang membelenggu Terengganu ?
Mari kita imbas persoalan sejarah ringkas dan fakta projek Taman Ilmu Terengganu ini:-
a) Mengapa projek asalnya dengan kos RM350 juta ini yang dibahagikan kepada tujuh pakej kontraktor berlainan gagal disiapkan walaupun permulaannya berjalan baik?
b) Mengapa ada kontraktor yang sangat lambat dibayar sehinggakan mereka menghadapi berbagai masalah walaupun negeri Terengganu mempunyai bajet tahunan RM2 billion?
c) Mengapa selama 12 tahun kerajaan negeri dan JKR tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menyelamatkan projek yang baik kepada Pendidikan Negara ini?
d) Mengapa setelah projek ini terbengkalai, masalah kecurian dan kerosakan berlaku di lokasi projek teyap berlaku walaupun ada pihak kawalan lamatan swasta yang dibayar ratusan ribu ringgit?
e) Mengapa setelah satu syarikat pengurusan swasta dilantik untuk menyelamatkan projek ini ianya masih terus bermasalah dan kerajaan diberitakan terpaksa membayar syarikat tersebut lebih dari RM30 juta setelah melalui kes mahkamah tanpa apa-apa hasil positif kepada status projek tersebut?
f) Selama 12 tahun, adakah tiada menteri besar, exco negeri dan pegawai kerajaan yang berwibawa dan mempunyai keazaman politik dari Terengganu yang berani mengambil tanggungjawab untuk mengatasi masalah yang amat merugikan rakyat Terengganu dan Malaysia ini? Semua soalan ini mesti dijawap oleh menteri besar selaku ketua kerajaan negeri.
Mengabaikan satu projek pendidikan tinggi dalam sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonominya adalah satu "jenayah moral"!
Lebih-lebih lagi Terengganu telah lama terkenal sebagai negeri yang menghasilkan begitu ramai murid cemerlang di peringkat persekolahan menengah dalam peperiksaan peringkat kebangsaan.
Ini merupakan pengkhianatan peluang untuk memberi lebih banyak kemudahan dan kejayaan kepada anak Terengganu yang mereka berhak menuntut setelah prestasi akademik cemerlang yang berterusan.

Kenapakah kerajaan seterusnya di bawah menteri besar lain, selepas Datuk Idris Jusoh sebagai menteri besar Terengganu tidak memberi tumpuan dan keutamaan sepatutnya kepada projek ini?
Wang bukan masalah bagi kerajaan negeri Terengganu dengan bajet RM2 billion setahun.
Soalannya dimanakah kesungguhan politik "political will", serta amanah meneruskan projek yang baik dan mulia ini untuk anak Terengganu bagi memberi mereka harapan masa hadapan yang lebih cerah dalam negeri di kalangan termiskin di Malaysia ini?

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN RAJA AHMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA