Isnin, 26 Jun 2017

Penduduk Terengganu bergelut teruskan hidup, kesan penjimatan Putrajaya

Penduduk Terengganu bergelut teruskan hidup, kesan penjimatan Putrajaya
Nelayan muda Qayyum (kiri) dan Zulfahmi (kanan) membuat pemeriksaan harian ke atas bot mereka semasa Ramadan pertama di kampung nelayan di Seberang Takir di Kuala Tengganu. 
KEHIDUPAN Mohd Nor Abdullah, 59, yang mencari rezeki dengan menternak lembu, sambil mengambil upah menoreh getah di kampungnya dekat Marang, Terengganu mampu menampung kehidupannya sekeluarga ketika ekonomi baik.
Namun selepas kerajaan memotong bantuan pelajaran dua anaknya mulai tahun ini ekoran kedudukan ekonomi yang tidak berapa baik dan kejatuhan harga komoditi, beliau terpaksa membuat pelbagai kerja tambahan untuk menampung perbelanjaan bagi membantu anak-anaknya.
Melalui Ramadan dan kini Hari Raya adalah masa yang sukar baginya sekeluarga kerana semua memerlukan wang untuk membeli pakaian baru dan juadah Hari Raya.
"Dulu anak saya yang belajar di Institut Pendidikan Guru di Melaka dapat elaun RM595 sebulan. Namun tahun ini sudah dipotong kepada RM430 saja.
"Seorang lagi anak saya yang belajar di Institut Latihan Perindustrian di Kuala Terengganu pula dipotong elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan daripada RM300 yang diterimanya selama ini.
"Itupun bayaran kepada mereka selalu lewat diterima menyebabkan semuanya terletak kepada saya untuk menyelesaikannya," kata Mohd Nor menceritakan kehidupannya di kampung ketika dikunjungi The Malaysian Insight.
Mohd Nor tinggal di kampung Beladau, kira-kira 20 km dari bandar Kuala Terengganu. Kebanyakan penduduk kampung itu membuat pelbagai jenis kerja serentak untuk kehidupan mereka, termasuk menjadi petani dan penternak di samping ada yang bekerja dengan kerajaan.
Tekanan kepada Mohd Nor sekeluarga semakin teruk selepas harga getah sekerap jatuh merudum sehingga di bawah RM2 sekilogram. Beliau terpaksa berhenti daripada menoreh getah yang dipajaknya itu kerana tidak berbaloi lagi dan mencari kerja sambilan lain.
Antaranya, memelihara lebah kelulut selepas Menteri Pertanian  Ahmad Shabery Cheek mengisytiharkan madu kelulut sebagai "Malaysian super food". Buat permulaan Mohd Nor menolong jirannya yang mengusahakan ternakan kelulut itu lebih awal lagi.
Mohd Nor adalah antara ribuan penduduk kampung di Terengganu yang tertekan selepas kerajaan mengambil tindakan penjimatan akibat tekanan ekonomi, kejatuhan harga komoditi yang dihasilkan dan kenaikan harga barangan serta kejatuhan nilai ringgit.
Kehidupan di kampung tidaklah melibatkan kos yang sangat tinggi kerana mereka hanya menggunakan motor untuk ke mana-mana, tanpa tol seperti di bandar.
Tetapi, apabila anak-anak yang belajar di bandar bermasalah dan mereka perlu dibantu ketika harga komoditi pula jatuh dan harga barangan meningkat, tekanan turut diterima orang kampung seperti Mohd Nor.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed mengakui kos sara hidup dan nilai ringgit yang tidak stabil adalah isu utama yang dihadapi kerajaan dan bakal memberikan kesan dalam pilihan raya umum akan datang.
Mohd Nor Abdullah, 59 tahun, perlu membuat kerja sambilan sebagai pemetik madu di ladang sahabatnya untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk keluarganya di Marang, Tengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Jun, 2017.
Mohd Nor Abdullah, 59 tahun, perlu membuat kerja sambilan sebagai pemetik madu di 
ladang sahabatnya untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk keluarganya di Marang, 
Tengganu.
Nilai ringgit
"Dulu kita dapat sikit duit tetapi boleh beli banyak barang tetapi sekarang walaupun kita dapat duit lebih, barang yang boleh dibeli sudah kurang," kata Rozali Abdul Ghani, 67, pemandu bot penambang yang berulang alik antara bandar Kuala Terengganu dan Seberang Takir melalui muara Sungai Terengganu.

Pendapatan Rozali tidak tetap, bergantung kepada jumlah penumpang yang menaiki botnya.
"Jika musim cuti sekolah, ramailah sikit penumpang yang mahu naik bot kami," katanya yang mendapat upah antara RM800 hingga RM1,000 sebulan di samping wang bantuan daripada kerajaan kepada pemandu bot sepertinya.
"Kerajaan bantu kami RM200 sebulan," katanya yang memberitahu peranan Kerajaan amat besar dalam meringankan bebanan rakyat seperti beliau.
Rozali dan rakan-rakannya bernasib baik kerana wakil rakyat mereka adalah Menteri Besar Terengganu Mohamad Razif Abdul Rahman.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelbagai bantuan yang mereka terima dari membaik pulih bot sehinggalah wang tunai. Tambahan pula ini adalah pilihan raya yang pertama untuk Razif selaku menteri besar.
Pekerjaan Rozali dan rakan-rakan pemandu botnya sedang terancam apabila jambatan kedua yang sedang dibina bagi menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan seberangnya siap nanti. Razif memberikan jaminan akan menjaga kepentingan mereka.
"Sudah tentu penumpang kami berkurang nanti tetapi saya yakin jika kerajaan ambil berat bot penambang ini tidak akan pupus," katanya sambil memberitahu sekarang ini usaha sedang dibuat untuk menjadikan sumber pendapatan utama Rozali dan rakan-rakannya adalah melalui industri pelancongan bukan lagi penumpang biasa.
Nelayan
Di kampung Seberang Takir tempat tinggal Rozali, ramai penduduk adalah nelayan dari turun temurun. Sebahagian mereka asalnya meneroka tanah kerajaan yang ada di situ dan ada antara mereka masih tinggal di atas tanah tanpa geran yang sah.
Zulfahmi dan Abdul Qayyum, 18, adalah dua nelayan muda di muara Sungai Terengganu yang sedang pesat dilanda pembangunan itu.
Mereka berdua tidak meneruskan persekolahan seperti rakan-rakan sebayanya yang  lain tetapi mengambil keputusan untuk menjadi nelayan sejak awal remaja lagi.
Sebagai nelayan, mereka selalunya menyertai bot nelayan kelas B sebagai awak-awak, yang turun ke laut untuk memukat ikan bilis.
"Sekarang musim air jernih, ikan pun kurang. Jadi rezeki kami kuranglah masa ni. Bulan tujuh dan lapan lepas raya nanti baru banyak sikit dapat ikan," kata Qayyum kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di pengkalan botnya.
Di awal bulan puasa lalu, Zulfahmi dan Qayyum serta ramai nelayan sepertinya bercuti dan kini di musim Hari Raya sekali lagi mereka akan bercuti dari ke laut.
Bagi Zulfahmi dan Qayyum, walaupun menjadi nelayan tidak menjanjikan kehidupan yang mewah, namun ia adalah pekerjaan turun temurun keluarga yang perlu beliau teruskan dan mereka senang dengan pekerjaan dan kehidupan itu.

1 ulasan:

  1. Inilah isu yg cif lebai pas patut ambil berat. Bukan dok pertahan penyamun dgn pelbagai nas dan alasan

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA