Rabu, 21 Jun 2017

Pendaftaran PH tertangguh kerana peranan saya, kata Dr Mahathir

PENGERUSI Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad mendakwa dirinya menjadi faktor penyebab pendaftaran rasmi Pakatan Harapan (PH) masih tertangguh, lapor Channel NewsAsia hari ini.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu dalam temu bual dengan Channel NewsAsia berkata memandangkan partinya berasaskan orang Melayu berada pada kedudukan terbaik untuk memenangi hati pengundi Umno dan PAS, pada awalnya beliau dicadangkan menjadi pengerusi gabungan pembangkang.
"Malangnya dalam mesyuarat tidak rasmi (antara) pemimpin parti, persoalan menamakan ‘ketua’ sebagai pengerusi atau nama lain.
"Ada yang menentang jawatan pengerusi yang diberikan itu jika saya yang memegang jawatan tersebut. Jika orang lain memegang jawatan itu baik-baik saja, tetapi bukan saya," katanya.
Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah parti serpihan PAS dalam usaha menewaskan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak pada PRU14.
PH sedang dalam usaha mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan untuk bertanding dalam PRU14 sebagai satu pakatan rasmi tetapi butiran mengenai struktur kepimpinan perlu diselesaikan terlebih dulu.
Dr Mahathir berkata ada cadangan "tidak masuk akal" untuk menamakannya sebagai "penasihat eksekutif" tetapi beliau menolaknya.
“Ini percanggahan, anda tidak boleh menjadi eksekutif dan penasihat pada masa yang sama. Tetapi ini adalah perkara yang menangguhkan mesyuarat kami," katanya.
Satu lagi cadangan ialah untuk Dr Mahathir menjadi pengerusi sementara Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan presiden sementara suaminya, Anwar Ibrahim ialah penasihat gabungan itu.

“(Saya fikir ada antara mereka) bimbang, mereka sangsi, mereka merasakan saya masih mahu berkuasa, (dan) merampas parti mereka, pemikiran seperti ini.
"Mereka rasa sukar untuk memutuskan jawatan saya, saya bukannya meminta mahu memimpin atau apa-apa seperti itu, tetapi mereka yang minta.
"Saya tawarkan diri untuk berundur, saya kata saya tidak ada peranan sama sekali kecuali jika kamu meminta saya memberi ceramah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA