Isnin, 12 Jun 2017

Pemuda BN Sarawak pertahan Karim, kecam Nazri kasar

Fadillah Yusof berkata, tindakan Nazri Aziz membidas Karim tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN kerana memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen.
Fadillah-Yusof-nazri-aziz-sarawakPETALING JAYA: Pemuda BN Sarawak hari ini mempertahankan menteri pelancongan negeri itu dengan mengecam tindakan Datuk Seri Nazri Aziz melabelkan Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai menteri “setahun jagung” yang tidak berpengalaman.
Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan kenyataan menteri pelancongan dan kebudayaan itu sebagai kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN kerana memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen.
“Tindakan melabelkan menteri Sarawak itu sebagai ‘setahun jagung’ dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Datuk Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri,” kata menteri kerja raya itu dalam kenyataan hari ini.
“Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN, apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.”
Semalam, Nazri membidas Karim kerana mengkritik langkah Putrajaya memperkenalkan cukai pelancongan yang turut dipersoalkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan berkata, banyak perkara masih kabur dan permintaannya untuk bertemu Nazri belum dipenuhi.
“Awak baru setahun jagung. Jangan cakap banyaklah,” kata Nazri semalam.
Karim sebelum ini berkata, pelaksanaan cukai pelancongan itu ialah contoh Putrajaya mengenakan undang-undang cukai ke atas Sarawak tanpa rundingan.
Kenyataan itu mengundang kemarahan Nazri yang berkata, Sarawak tidak mempunyai banyak hotel, oleh itu hasil cukai itu boleh menguntungkan negeri berkenaan.
Hari ini, Karim menasihati Nazri lebih bersopan santun terutama pada bulan Ramadan dan soal pelancongan Sarawak tidak dibutirkan dalam Perjanjian Malaysia, oleh itu sebarang pelaksanaan perlu melalui rundingan.
Fadillah berkata, Pemuda BN Sarawak berpendirian semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, tindakan melabelkan pemimpin parti komponen BN sebagai samseng tidak wajar kerana ia adalah satu penghinaan kepada individu terbabit, selain boleh menjejaskan imej parti kerana samseng bukan budaya BN.

“Dalam berdepan apa juga isu, Pemuda BN Sarawak berpendirian paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan.”
Jumaat lalu, Nazri mengumumkan pelaksanaan cukai itu berkuat kuasa 1 Julai yang bakal menyaksikan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 dikenakan hotel seluruh negara bagi penginapan semalaman.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada April lalu untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan boleh memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta, jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA