Isnin, 26 Jun 2017

Pemandu teksi di KL ingin bantah pelantikan Isa Samad dalam SPAD


Pemandu teksi di KL ingin bantah pelantikan Isa Samad dalam SPAD
Persatuan pemandu teksi tidak mempercayai krebiliti bekas pengerusi Felda Global Venture Holding Bhd, Isa Samad untuk menerajui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. 
KIRA-KIRA 700 hingga 800 pemandu teksi di Lembah Klang akan melancarkan bantahan terhadap pelantikan Isa Samad sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mengatakan mereka inginkan seseorang yang "bersih" memegang jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin berkata protes tersebut akan diadakan di depan Dewan Sivik Petaling Jaya pada 3 Julai ini.
Zailani berkata pemandu teksi tidak mempercayai krebiliti bekas pengerusi Felda Global Venture Holding Bhd (FGV) yang bermasalah itu untuk menerajui SPAD.
"Tujuan utama protes kita ialah kita mahu jawatan Isa diganti dengan orang yang lebih bersih.
"Bagi kami, ini sebagai satu bentuk penjajahan politik baru ke atas SPAD dengan membawa masuk orang politik seperti mana yang terjadi kepada Felda.
"Kalau setakat untuk mempengerusikan mesyuarat, kenapa perlu lantik juga orang politik? Adakah kita tiada pemimpin yang baik dalam Malaysia ini?" katanya memberitahu The Malaysian Insight.
Isa dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif SPAD pada 19 Jun, pada hari yang sama beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi FGV.
Berikutan reaksi negatif terhadap pelantikan barunya, Isa berkata beliau hanya bersetuju menerima jawatan dalam SPAD kerana Perdana Menteri Najib Razak meminta beliau berbuat demikian.
Isa dan ketua pegawai eksekutif Zakaria Arshad yang digantung, berdepan pertikaian mengenai urus niaga di antara anak syarikat FGV Delima Oil Products dan syarikat Afghanistan, Safitex.
Zakaria dan tiga pegawai kanan lain diarahkan bercuti oleh lembaga pengarah awal bulan ini susulan siasatan dalaman terhadap urus niaga itu di samping siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam FGV oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isa dan isteri dipanggil SPRM minggu lalu bagi memberi keterangan berkaitan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu.
Berikutan skandal FGV, Zailani berkata pemandu teksi tidak "mempercayai" kredibiliti bekas ketua pengerusi FGV itu dan bimbang pelantikannya hanya akan memburukkan lagi imej SPAD.
Suruhanjaya itu dipersalahkan kerana gagal melindungi hak dan kebajikan pemandu teksi di negara ini, katanya sambil menambah Isa tidak akan memahami kesukaran mereka.
"SPAD memerlukan orang yang jujur dan kami tidak nampak Isa akan faham kesusahan rakyat dan beliau bukanlah pejuang Melayu.

"Ini kerana, individu yang akan menerajui lebih 80,000 pemandu teksi perlulah seorang tokoh yang faham kesusahan dirasai kami," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata protes yang bakal diadakan juga bertujuan menyuarakan perkara lain.
Antaranya, gesaan agar dapat melindungi nasib pekerja teksi dan bantahan pemberian permit kenderaan sendiri kepada pemandu Uber dan Grab.
"Sebab itu kita juga menjemput menteri seperti Nancy dan pelbagai wakil lagi seperti Pengurus Besar Kanan Penguatkuasaan SPAD Che Hasni Che Ahmad, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan Timbalan Menteri Pengangkutan Aziz Kaprawi untuk menjelaskan kepada kami mengenai isu berbangkit," katanya.

1 ulasan:

  1. Kita tak mahu Isa jadi pengerusi SPAD...kami mahu Isa jadi pengerusi 'persatuan banduan di sg buloh' yg akan diberi kemudian kpd sheih najib al keleptokrasi (penyumbang derma rm2.6 billion).....hhihihi...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA