Rabu, 21 Jun 2017

Pelantikan Isa Samad bercanggah Akta SPAD?

Pelantikan bekas menteri UMNO, Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) secara serta merta dipercayai telah melanggar Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714).
Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff pelantikan ke jawatan berkenaan hanya boleh dilakukan sekiranya Isa merupakan anggota SPAD.
“Najib mengumumkan perlantikan Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi SPAD berkuatkuasa serta merta sepertimana perletakkan jawatan serta merta Isa sebagai Pengerusi FGVH.
“Bagaimana Isa boleh dilantik sebagai Pemangku Pengerusi SPAD dengan berkuatkuasa serta merta?
“Adakah Kerajaan Malaysia pimpinan Najib Tun Razak sudah ditadbir secara membuta tuli tanpa mengikut undang-undang dan peraturan?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, mengikut Akta 714, menteri berkenaan perlulah melantik seorang Pengerusi, seorang Ketua Pegawai Eksekutif, tidak lebih lima wakil Kerajaan dan tidak kurang daripada tiga orang.
Menteri juga katanya boleh melantik tidak lebih daripada lima anggota lain yang pada pandangannya mempunyai pengetahuan dan pengalaman serta menunjukkan keupayaan dan profesionalisme dalam perkara yang berhubungan dengan pengangkutan awam darat untuk menganggotai SPAD.
“Adakah Kerajaan Malaysia sekarang sudah tidak peduli sebarang undang-undang dan peraturan demi kelangsungan kepentingan politik tertentu?
“Jika Kerajaan sendiri tidak mempedulikan undang-undang dan peraturan, bagaimana Kerajaan akan dipandang tinggi dan dihormati?” soalnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA