Sabtu, 10 Jun 2017

Pegawai SPRM peras ugut polis, minta rasuah direman 3 hari

Seorang pegawai SPRM ditahan kerana didakwa memeras ugut dan meminta wang daripada pegawai polis yang bertugas di Pulau Pinang.
Nik-Ros-Azhan_polis_sprm_600
BUKIT MERTAJAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan kerana didakwa memeras ugut serta meminta wang daripada pegawai polis yang bertugas di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pegawai yang bertugas di Unit Risikan Zon Utara SPRM Putrajaya berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Machang Bubok di sini, pukul 10.20 malam tadi.
“Berdasarkan siasatan, mangsa yang merupakan pegawai polis cawangan Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT telah dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh pegawai SPRM itu pada Mac lepas untuk berjumpa.
“Pegawai polis yang memang mengenali lelaki itu memberitahu tidak dapat berjumpa kerana berada di Putrajaya dan sejak itu suspek kerap menghubungi mangsa, namun pegawai (polis) tersebut enggan bertemu kerana tahu dia (suspek) akan memeras ugut,” katanya di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, pada 5 Jun lepas, mangsa dimaklumkan oleh rakannya bahawa pegawai SPRM itu ingin bertemu dengannya dan menetapkan wang bulanan sebanyak RM3,000 setiap bulan kononnya bagi menjaga pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT.
“Mangsa kemudiannya berjumpa dengan suspek di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya pada Khamis malam dan diberitahu jika enggan memberi wang, pegawai polis itu berisiko ditangkap SPRM kerana mangsa bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram,” katanya.

Katanya, pegawai SPRM itu seterusnya memaklumkan akan mengambil wang daripada mangsa semalam, justeru pegawai polis terbabit membuat laporan polis kerana takut akan ancaman tersebut.
“Selepas mangsa berjumpa dengan pegawai SPRM itu di sebuah restoran dan menyerahkan wang tunai RM3,000, sepasukan polis menahan suspek dan merampas duit berkenaan,” katanya.
Beliau berkata selain itu, polis turut merampas kad kuasa, beg sandang, 2 kelongsong peluru 9mm, telefon bimbit dan sebuah kereta Volkswagen daripada pegawai SPRM yang kini direman selama 3 hari bermula hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA