Jumaat, 30 Jun 2017

PAS menuju perang dengan dua nakhoda?

IA bukanlah satu krisis lagi tetapi akar umbi PAS mula menerima isyarat bercampur baur daripada dua pemimpin tertinggi mereka, siapakah rakan mereka menjelang Pilihan raya Umum Ke 14 (PRU 14) nanti.
Presiden parti Abdul Hadi Awang, yang kini sedang menjalani proses pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung, mahu bekerjasama dengan Umno dan bagi memastikan partinya memenuhi hasrat ini, dia telah meletakkan pemimpin yang sehati sejiwa dengannya dalam barisan kepimpinan utama parti itu sebelum memasuki dewan bedah Institut Jantung Negara (IJN) bulan lepas.
Hadi, yang percaya pengekalan kuasa politik Melayu lebih penting daripada segalanya juga menjadi pembodek utama kerajaan dalam konflik 1MDB, skandal terbesar negara sejak merdeka 1957.
Bertentangan sama sekali dengan seorang lagi pemimpin utama PAS, pemangku presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dia muncul antara pengkritik terlantang skandal 1MDB. Dia juga bimbang parti Islam itu akan kehilangan asetnya yang paling berharga, Kelantan dalam pilihan raya akan datang sekiranya PAS meneruskan rancangan untuk memutuskan hubungan dengan gabungan pembangkang, Pakatan Harapan. Dia percaya pertembungan tiga penjuru di Pantai Timur akan membawa bencana kepada PAS.
Kerana itu, reaksinya dalam cubaan mengurangkan risiko kehilangan Kelantan, pemangku ketua parti itu cuba menjalinkan hubungan dengan PKR dan Bersatu walaupun terus bermusuh dengan Amanah dan DAP.
Strategi ini menerima sokongan pemimpin akar umbi PAS yang lebih gemarkan idea bekerja dengan pembangkang dan tidak boleh menerima kenyataan yang parti Islam itu cuba berbaik-baik dengan Umno, musuh tradisinya selama ini.
Semua tindakan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim sedang diperhatikan dan dibaca penyokong dan mereka yang setia kepada parti itu.
Sebelum pembedahannya, Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 6 Mei merombak struktur parti bagi memastikan rancangannya bekerjasama dengan Umno berjalan lancar.
Dalam mesyuarat itu, dia melantik setiausaha politiknya Dr Samsuri Mokhtar sebagai ketua pengarah pilihan raya bagi menggantikan ahli politik veteran Mustafa Ali.
Iskandar Samad, dilucutkan jawatan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor kerana hubungan kerja yang rapat dengan PKR terutama sekali dengan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan ikatan kewangan antara PAS dan Umno, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria pula dilantik sebagai bendahari parti yang baru.
Tidak sampai sebulan kemudian, pemangku presiden parti Tuan Ibrahim melantik kembali Mustafa bersama tiga pemimpin veteran yang lain ke dalam satu badan baru yang dibentuknya.
Mustafa dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat parti bersama-sama Dr Sanusi Daeng Mariok, Abdul Halim Abdul Rahman dan Subky Latif.
"Namun, perlantikan semula Mustafa dalam kepimpinan PAS melalui lembaga penasihat akan menyebabkan imbangan kuasa berlaku semula dalam PAS.
"Ini kerana Mustafa selama ini yang berusaha untuk bekerjasama dengan pembangkang khasnya PKR dan Bersatu ketika Hadi dilihat bekerjasama dengan Umno," kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar daripada Ilham Center, sebuah badan kajian bebas.
Tetapi sekiranya Tuan Ibrahim merasakan yang keadaan sudah memihak kepadanya, dia tersilap.
Pengarah Institut Pengajian Strategik PAS (IPS) Dr Khairudin Aman Razali- yang baru-baru ini mengambil alih jawatan itu daripada Dr Khazani Mohamad yang meninggal dunia- memecat tiga pemimpin badan pemikir PAS itu, Zaharudin Mohamad, Dr Zainal Abidin Kidam dan Dr Nazri Chik yang lantang bersuara menentang kerjasama dengan Umno.

Dr Khairudin dinamakan pemimpin Bersatu sebagai salah seorang daripada lima pemimpin utama PAS yang kuat menentang mana-mana cubaan bekerjasama dengan parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad itu.
Juga, Majlis Syura PAS yang sangat berkuasa masih dalam kawalan Hadi Awang.
Majlis inilah yang pada Mei lalu secara rasmi memutuskan semua kerjasama politik dengan PKR. Keputusan yang mengejutkan banyak pihak termasuk Azmin Ali, menteri besar Selangor yang juga timbalan presiden PKR.
Sedangkan sebelum pengumuman itu, Tuan Ibrahim dan Mustafa memberikan jaminan kepada Azmin  yang parti Islam itu tidak akan memutuskan hubungan dengan PKR sekurang-kurangnya sehingga PRU 14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA