Sabtu, 10 Jun 2017

PAS mahu berdialog dengan golongan ‘liberal’

PAS berharap dialog itu akan dapat menyelesaikan sebarang masalah antara PAS dan golongan liberal secara tertib.
tuan-ibrahim-pas
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan akan menggiatkan dialog dengan golongan “liberal” yang sering mengkritik mereka.
Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap dialog itu akan dapat menyelesaikan sebarang masalah antara PAS dan golongan liberal secara tertib.
“Kita perlu duduk berbincang bersama sebab kalau kita bertembung dalam media, tak akan selesaikan masalah,” katanya dalam sesi soal jawab majlis berbuka puasa PAS Pusat besama media di sini hari ini.
Tuan Ibrahim mengakui dialog antara PAS dan golongan itu akan menemukan 2 kutub yang mempunyai pendirian yang bercanggah dalam beberapa perkara.
“Kita boleh toleransi dalam perkara yang tidak bercanggah dengan prinsip,” kata beliau, seiring dengan dasar Budaya Politik Matang Dan Sejahtera yang diterajui PAS di bawah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Tetapi kalau soal Lesbian, Gay, Transgender dan Transeksual (LGBT) sudah tentu bercanggah dengan Islam. Kita tidak boleh pertahan nilai yang tidak bermoral. Tidak ada orang menganggap benda itu bermoral.”
Beliau berkata demikian selepas ditanya bagaimana PAS mahu menangani menangani golongan liberal yang mengkritik beberapa agenda parti seperti usul Hadi yang mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan sikap terhadap isu LGBT.

Tuan Ibrahim menambah PAS tidak mahu melanggar prinsip mereka walaupun negara ini membenarkan kebebasan tertentu kepada rakyatnya.
“Kita kena tegas dengan prinsip. Kalau prinsip itu terlanggar, dia akan rosak negara,” katanya.
Beliau turut berkongsi sedikit pandanganya mengenai golongan liberal dengan media.
“Pertama sekali kefahaman. Yang keduanya kita akui golongan liberal ini ada rangkaian dia. Rangkaian dia memang ada kaitan dengan pihak luar pun yang menaja, yang menggerakkan,” katanya.

1 ulasan:

  1. Kebanyakan rakyat mahu menukar kerajaan umno bn skrg kpd kerajaan yg lebih baik. Tidak guna dialog ini krn yg hadir nanti hanyalah penyokong pas shj. Pas patut sertai ph dan sama sama ubah kerajaan sekarang. Pru13 telah membuktikan kekuatan pembangkang .

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA