Sabtu, 10 Jun 2017

PAS mahu bawa RUU persendirian dana politik

Selepas menjadi fokus susulan RUU menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, PAS mahu mengambil langkah yang sama jika Putrajaya tidak mempercepatkan usaha menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Zuhdi-Marzuki_ruu_600
SHAH ALAM: Selepas menjadi fokus susulan rang undang-undang persendirian (RUU) menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, PAS mahu mengambil langkah yang sama jika Putrajaya tidak mempercepatkan usaha menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya mahu undang-undang itu digubal segera dengan membentangkan pada sidang Parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah rasuah.
“Kita akan desak kalau kerajaan tidak bawa RUU itu, kemungkinan 1 lagi RUU akan di bawa PAS yang melibatkan RUU Sumbangan dan Pembiayaan Politik.
“Ini pendekatan kita. Kita bercakap hal perubahan yang perlu dilakukan. Walau mereka dapat modal politik tetapi PAS utamakan penyelesaian masalah negara,” kata beliau pada Munaqasyah Rakyat di sini hari ini.
Sesi Dewan Rakyat akan datang dijadual untuk berlangsung dari 24 Julai hingga 10 Ogos.
September lalu, Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Senatpr Datuk Paul Low Seng Kuan mengumumkan cadangan agar Putrajaya menggubal satu akta khusus yang akan menetapkan semua ahli politik supaya mengisytiharkan dana yang diterima atau disiasat dan dikenakan tindakan.
Akta itu membawa peruntukan mengharamkan sumbangan tunai daripada sumber asing sama ada kepada parti mahupun ahli politik, termasuk individu, syarikat, yayasan atau persatuan yang berdaftar atau tidak berdaftar serta tidak berpejabat di Malaysia.
Akta itu juga melarang perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan atau konsesi membuat sumbangan politik secara langsung, tidak langsung atau berupa barangan.
Semua sumbangan yang dibenarkan perlu disalurkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi baharu berasingan untuk transaksi itu

Cadangan ini dikemukakan susulan kontroversi sumbangan politik RM2.6 juta yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Zuhdi yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, partinya bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) telah pun melahirkan sokongan ke atas langkah agar Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik diperkenalkan dan digubal oleh kerajaan.
Bagaimanapun, Zuhdi berkata PAS kecewa kerana belum nampak usaha kerajaan untuk membawa akta itu ke Parlimen.
“Insya-Allah dalam perbincangan malam tadi (bersama Ikatan), kita akan desak (kerajaan),” katanya.

1 ulasan:

  1. Pas patut bawa agenda memajukan ekonomi Kelantan. Dah 26 tahun Kelantan masih mundur .

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA