Khamis, 22 Jun 2017

Parti Warisan bukan cabaran besar BN Sabah, dakwa ahli MT Umno


Parti Warisan Sabah

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata semua anggota parti perlu terus memperkukuhkan hubungan terutamanya dalam menghadapi perjuangan politik yang amat mencabar pada ketika ini.
Beliau berkata hubungan silaturahim dalam kalangan anggota parti khususnya di Sabah perlu terus dikekalkan dan dipertingkat.
"Dengan adanya hubungan silaturahim yang kukuh saya yakin Sabah terus kekal di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang dengan pimpinan seorang Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) yang begitu komited kepada perjuangan, sentiasa bekerja keras serta mengambil berat terhadap rakyat di seluruh di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan Pergerakan Wanita Umno Sabah bersama beliau di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Armani Mahiruddin dan Naib Ketua  Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Pada majlis itu  200 anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan balu menerima sumbangan sumbangan wang zakat daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang disampaikan oleh Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak menjadi cabaran besar kepada Umno di Sabah.
"Saya tidak melihat  parti Warisan ini menjadi cabaran. Oleh itu saya menyokong penuh agar Umno menang dalam pilihan raya akan datang di Sabah dan saya berjanji akan membantu untuk memastikan Umno Sabah menang dalam pilihan raya nanti," katanya.
Sementara itu, Armani berkata Pergerakan Wanita Umno Sabah berikrar akan terus memperkasakan usaha ke arah menambat hati rakyat dan menentukan sokongan kekal kepada perti berkenaan.
"Untuk itu, pendekatan dan fokus akan diperhebatkan supaya lebih dinamik, tangkas, efisien serta berkupayaan untuk menjadi juara dalam menyampaikan kebajikan kepada rakyat.

Wanita Umno Sabah akan terus menjadi tulang belakang dan nyawa kepada parti. Kami memberikan sepenuh sokongan dan kerjasama kepada pucuk pimpinan parti dan kerajaan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai rampasan daging ayam dari Amerika Syarikat dalam kontena besar yang mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) semalam, Tajuddin berkata pihak penguatkuasa yang berkaitan perlu lebih berwaspada dan serta memperhebatkan lagi kawalan di pintu masuk negara.
"Kita tahu penguatkuasa sentiasa menjalankan tugas untuk membanteras penyeludupan. Namun  ada juga satu dua kes yang boleh membolosi kawalan...namun apa yang paling penting pihak penguatkuasa telah melakukan operasi dan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA