Isnin, 26 Jun 2017

Najib, hadapi dulu lima cabaran lama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyenaraikan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi negara .
Ini termasuk:
1. Isu geopolitik (berkait Timur Tengah, Korea Utara dan Brexit);
2. Keselamatan dan keamanan (termasuk isu IS/Daesh);
3. Ekonomi;
4. Mendahulukan kepentingan rakyat; dan
5. Masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Walaupun amat penting untuk kita meneliti halatuju negara dari semasa ke semasa, bagi saya masih terdapat banyak cabaran “lama” yang belum diatasi dengan menyeluruh.
Bak peringatan Nabi Muhammad SAW agar kita rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, lima cabaran “lama” ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum lima cabaran “baharu” yang disebut Najib.
Lima cabaran “lama” ini termasuklah:
Menentukur semula (recalibrate) dasar luar negara Malaysia
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering mendengar isu politik serantau termasuk isu Laut Cina Selatan – khusus berkait pencerobohan kawasan perairan negara – dan peperangan di Timur Tengah.
Walaupun media melaporkan penglibatan Malaysia di dalam latihan ketenteraan “North Thunder” di Arab Saudi pada Mac 2016 hanyalah untuk menimba pengalaman pertempuran padang pasir, namun ada pihak yang bertanya apakah bijak kita turut terlibat dalam persengketaan bersenjata di Timur Tengah?
Kita bukan sahaja tidak mahu sempadan dan politik dalam negara dikacau mana-mana kuasa asing, tetapi kita juga tidak patut menghantar askar-askar Malaysia untuk terlibat di dalam konflik geopolitik yang tiada kaitan dengan kita, lebih-lebih lagi jika konflik itu tiada aspek bantuan kemanusiaan.
Oleh itu, amatlah penting Putrajaya menentukur semula dasar luar negara dengan mengukuhkan doktrin Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang beroperasi di dalam Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Kita tidak perlu berpihak di dalam perbalahan geopolitik, terutama di antara kuasa besar AS dan China atau di kalangan negara-negara Arab di Timur Tengah. Malah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai negara berkecuali, kita perlu mempraktikkan strategi Malaysia sebagai “perantara” atau “perunding” kepada perbalahan geopolitik demi keamanan sejagat.
Perang ke atas perasuah, koruptor dan kleptokrat
Pada 2016, akibat skandal kewangan 1MDB, Malaysia disenaraikan di antara lima negara yang mempunyai masalah rasuah paling besar di dunia. Malah Malaysia berada di kedudukan ke-55 dari 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi 2016. Satu laporan turut menyatakan Malaysia kehilangan RM1.8 trilion dari 2005 ke 2014 akibat aliran wang haram.
Ini bukanlah pencapaian yang membanggakan.
Selagi isu 1MDB tidak selesai dengan menghadapkan mereka yang bersalah ke mahkamah sama seperti apa yang berlaku di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS, dan selagi aliran wang haram tidak dibendung, selagi itulah persepsi bahawa perasuah, koruptor dan kleptokrat bermaharajalela akan berterusan.
Pihak SPRM sebagai agensi utama dalam memerangi rasuah juga perlu memastikan saksi-saksi kes rasuah dapat tampil memberi keterangan di mahkamah dan tidak hilang begitu sahaja. Jika tidak, rakyat mungkin melihat usaha SPRM hanya sebagai wayang pra-pilihanraya.
Memperkukuh kedudukan sosio-ekonomi rakyat
Indeks Harga Pengguna terkini menunjukkan inflasi telah meningkat 3.9 peratus. Ini bermakna harga barang semakin hari semakin naik.
Walaupun MIDF menjangka peningkatan gaji median sebanyak 6.5 peratus bagi 2017, jumlah pengangguran di kalangan anak muda yang mencecah 10.7 peratus atau 200,000 orang amat merisaukan.

Bila diambil kira bahawa umur median Malaysia adalah 28, yang bermaksud 15 juta rakyat Malaysia berumur di bawah 28 tahun, sekiranya isu-isu gaji graduan/minimum, peluang pekerjaan dan inflasi tidak ditangani dengan menyeluruh, ekonomi negara pasti terkesan pada jangkamasa panjang.
Berkait dengan isu ini adalah isu perumahan, di mana realitinya adalah warga kota semakin sukar memiliki rumah di Lembah Klang. Gesaan beberapa pihak agar kerajaan meningkatkan jumlah rumah di bawah skim Sewa-Beli (Rent-to-Own) juga masih belum terlaksana sehingga mereka memanggil masalah perumahan ini sebagai ‘krisis nasional yang bakal berlaku’.
Tak perlu fokus yang jauh-jauh; Putrajaya perlu fokus hal ini dahulu.
Reformasi institusi demokrasi
Mutakhir ini, kita mendengar usaha untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) untuk menyiasat kes BMF tahun 80an. Seperti yang telah disebut ramai pimpinan politik, usaha ini amat dialu-alukan kerana ia mampu memberi penjelasan serta mencari keadilan dalam isu tersebut.
Walau bagaimanapun, seperti yang kita pernah saksikan dengan hasil siasatan RCI terhadap VK Lingam dan ‘Projek IC’ di Sabah, siasatan dan laporan semata-mata tidak menjadi reformasi sistem; pihak berkuasa perlu dilihat melaksana reformasi bukan sahaja dengan mengenalpasti mereka yang terlibat tetapi dengan memastikan undang-undang mencukupi agar sistem tidak punah lagi di masa hadapan.
Oleh itu, demi mereformasi institusi-institusi demokrasi di negara ini, satu Jawatankuasa Kebenaran dan Perdamaian (Truth and Reconciliation Committee) perlu ditubuhkan untuk bukan sahaja menyelesaikan krisis-krisis yang telah merosakkan institusi demokrasi (sebagai contoh, BMF dan 1MDB melibatkan institusi kewangan dan perbankan; VK Lingam – kehakiman; Projek IC – kewarganegaraan dan sistem pilihanraya; tragedi Double Six di Sabah – pentadbiran wilayah; dan lain-lain lagi), tetapi juga mencadangkan proses dan langkah yang diperlukan untuk merangka satu Rang Undang-Undang Reformasi Demokrasi di Parlimen. RUU ini akan memansuhkan undang-undang zalim dan mereformasi institusi-institusi demokrasi di Malaysia secara menyeluruh.
Mengangkat ketuanan rakyat dan program reformasi nasional
Pada 2008, pasca PRU-12, ‘Ketuanan Rakyat’ telah diungkap Dr Syed Husin Ali sebagai agenda mengangkat martabat rakyat. Ketuanan Rakyat menolak fahaman politik perkauman sempit dan berusaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat terbanyak (terutamanya golongan miskin) dengan menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan Agenda Ekonomi Malaysia.
Kini, hampir sepuluh tahun kemudian, kita dapat saksikan bagaimana semangat ‘Ketuanan Rakyat’ ini direalisasikan di Selangor dan Pulau Pinang melalui program-program peduli rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Skim Peduli Sihat, bas percuma dan banyak lagi.
Jika Umno-BN mengetengahkan program “Transformasi Nasional 2050” (TN50) yang merupakan anjakan tiang gol dari Wawasan 2020 ke 30 tahun kemudian, saya mencadangkan agar diusahakan program “Reformasi Nasional 2017” (RN17) yang mengumpul idea, pandangan, cadangan, dan harapan rakyat untuk mereformasikan Malaysia melalui siri pertemuan rakyat (‘townhall sessions’) di seluruh negara. Pimpinan Pakatan Harapan di setiap negeri kemudiannya akan berusaha menterjemahkan suara-suara rakyat ini melalui siri program atau manifesto peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Akhir sekali, walaupun pelbagai risiko dan cabaran baharu mungkin melanda kita, demi nusa dan bangsa, kita perlu berwaspada agar cabaran-cabaran yang masih belum diatasi tidak diketepikan begitu sahaja.

Fahmi Fadzil

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA