Ahad, 11 Jun 2017

Najib garis 3 prinsip, mahu isu FGV selesai di bulan Ramadan

Najib masih berunding dengan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad bagi menentukan masa depan FGV.
Najib-FGVKULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan 3 prinsip utama untuk menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan mahu isu itu diselesaikan dalam bulan Ramadan ini juga.
“Pertama, ia mesti mematuhi undang-undang syarikat. Kedua, ia mesti selaras dengan urus tadbir baik dan ketiga, proses siasatan mestilah melalui proses yang adil,” kata beliau ketika berucap pada majlis Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Sungai Sayong, di sini malam ini.
Menurut Najib, pelantikan bekas menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas untuk menangani kemelut melanda FGV itu, adalah berpandukan 3 prinsip tadi.
Ini juga bagi memastikan fakta yang diperoleh tepat dan akhinya kerajaan dapat membuat keputusan berhubung kemelut FGV.
Beliau berkata kerajaan berhasrat melihat kemelut ini segera dipulihkan.
“Dengan pemulihan kemelut ini, matlamat kita menjadikan FGV badan konglomerat yang bernilai tinggi, mempunyai perolehan yang lebih besar dari hari ini dan nilai saham berada di paras lebih tinggi lagi,” katanya.
Buat masa ini, Najib berkata, beliau masih berunding dengan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad bagi menentukan masa depan FGV.

“Dengan komitmen kerajaan, kita akan berusaha sedaya upaya agar FGV dapat menemui masa depan yang cemerlang, InsyaAllah,” katanya.
Selasa lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan 4 pegawai kanan syarikat perladangan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad bercuti berkuat kuasa serta merta.
Arahan itu dilaporkan sebagai memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.
Selain Zakaria, 3 lagi yang diarah bercuti adalah Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA