Jumaat, 2 Jun 2017

Muhyiddin dilarang anjur majlis berbuka puasa

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan mengadakan majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras yang sepatutnya diadakan di Masjid An-Nur, Pekan Kundang Ulu, Tangkak.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pagoh, Datuk Tahir Mohd Taat berkata, larangan itu disampaikan melalui surat yang difaks ke pejabat pusat komuniti Parlimen Pagoh pada pagi tadi oleh Pejabat Kadi Daerah Tangkak.
"Betul surat tu. Pagi tadi difaks. Kita sebenarnya buat majlis itu atas nama Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai anggota parlimen bukan parti.
"Ini bukan ceramah politik, kita cuma nak sampaikan sumbangan dan ia dibuat di perkarangan masjid bukan di dalam," katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin dijadualkan menyampaikan sumbangan beras kepada masjid serta madrasah di Parlimen Pagoh di perkarangan Masjid An-Nur pada Sabtu ini.
Dalam surat bertarikh 31 Mei yang ditanda tangani oleh Kadi Daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman memberitahu, keputusan tidak membenarkan majlis itu dibuat berikutan anggota jawatan kuasa Masjid An-Nur tidak bersetuju untuk memberi kebenaran kepada Muhyiddin.
Menurut surat berkenaan, perkara berkenaan dibuat bagi menghormati kepentingan semua pihak.
"Setelah mengambil kira pandangan kepimpinan daerah dan juga keputusan AJK Masjid An-Nur Pekan Kundang Ulu, Tangkak, pihak kami bersependapat tidak dapat memberi persetujuan dalam memberi kebenaran menganjurkan majlis tersebut di atas menghormati kepentingan semua pihak," petik surat tersebut.
Selain itu, Tahir juga memberitahu, beliau yang merupakan individu bertanggungjawab membuat permohonan untuk mengadakan majlis berkenaan melahirkan rasa kecewa dan terperanjat dengan keputusan tersebut.
"Sudah tentu saya terperanjat dan kecewa dengfan kejadian ini. Nampak macam ada permainan tertentu.

"Jadi kita sekarang dah tukar lokasi dan lokasi tersebut kita tumpang di rumah orang. Rumah tersebut tidak jauh daripada masjid itu," katanya lagi.
Selain adalah bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin juga merupakan bekas timbalan presiden Umno.
Beliau pada bulan Julai 2015 digugurkan sebagai timbalan perdana menteri selepas lantang menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas berhubung skandal 1MDB dan deposit berbilion ringgit yang berada dalam akaun bank peribadinya.
Pada Jun 2016, Muhyiddin juga dipecat sebagai timbalan presiden Umno.
Beliau kemudiannya bergabung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk parti serpihan BERSATU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA